Sabtu, 17 Januari 2009

Tangan empunya kuasa...

Saya baru saja pulang dari Terengganu (menghadiri Majlis Pengisytiharan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato' Razali Ismail dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Razali Ismail petang semalam). Besar juga majlis pengisytiharan ini dan tetamu VIP yang turut serta antaranya ialah TPM Dato' Seri Najib dan isteri, Menteri Pelajaran Dato' Seri Hishamudin, Datin Asariah dan sudah tentunya calon BN, Dato' Wan Ahmad Farid yang bertanding untuk kerusi parlimen Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil yang diadakan hari ini (khabarnya kalah dengan calon PAS dengan majoriti undi 2600). Setiap berlaku ada hikmahnya... Saya tidak mahu berbicara tentang politik kerana ia diluar bidang pengetahuan saya. Apa yang mahu saya kongsikan di sini ialah ceritera majlis yang saya hadiri petang semalam. Majlis ini diadakan untuk mengisytiharkan pertukaran rasmi nama Institut Perguruan Kuala Terengganu kepada Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato' Razali Ismail sempena mengingati jasa-jasa allayarham Dato' Razali Ismail, mantan Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Kami disajikan dengan sedutan video tentang kehidupan allayarham, tentang lawatan kerjanya sepanjang beliau memegang jawatan Timbalan Menteri Pelajaran. Sungguh menarik dan tersentuh. Saya agak hiba bila menghayati satu persatu rentetan cerita kehidupan beliau ditayangkan di layar kaca. Kemudiannya saya membaca catatan mengenai lawatan kerja allayarham ke Sarawak yang telah dibukukan. Tajuknya saja sudah mencuri perhatian; "Menjejaki Wira Yang Tidak Disyairkan". Apabila membaca keseluruhan buku ini, betapa saya begitu kagum dengan allayarham. Jiwa keguruannya sangat mendalam. Beliau tidak kisah menelusuri Sungai Rajang yang deras dan adakalanya melintang balak-balak sebesar pemeluk orang dewasa, tidak langsung gentar dengan sejarah Bujang Senang dan mungkin ada keturunannya di bawah bot yang dinaiki allayarham, tidak pula canggung beramah mesra dan bersenda tawa dengan anak-anak dan guru-guru di sekolah-sekolah pedalaman Kapit. Melihat keazaman beliau menyelami dunia pendidikan, betapa saya begitu terharu dan terfikir sejenak, mungkinkah saya akan menjadi pendidik yang sebenar-benarnya pendidik satu hari nanti? Sememangnya allayarham Dato' Razali Ismail adalah seorang pemimpin yang benar-benar layak menduduki kerusi tertinggi dunia pendidikan negara. Hanya satu sebab, "berdirinya, berdiri seorang guru; duduknya, duduk seorang guru; tidurnya, tidur seorang guru; jalannya, jalan seorang guru; makannya, makan seorang guru; hidupnya, hidup seorang guru dan matinya, benar-benar mati sebagai seorang guru." Akan munculkah lagi wira sepertinya? Yang benar-benar layak memegang kuasa? Saya bimbang... Keadaan dunia pendidikan semakin sulit untuk ditelah. Mereka-mereka yang di tangannya punya kuasa, serasa saya tidak lagi setulus dan seikhlas "Wira Yang Tidak Disyairkan" dalam memperjuangkan pendidikan anak bangsa. Cuba kita telusuri isu PPSMI (P&P Sains Matematik dalam B. Inggeris), sejak awal pelaksanaannya hinggalah kini. Tidak terlalu kejam rasanya jika saya katakan program ini telah mencantas keupayaan pendidikan anak-anak Melayu dan Bumiputera khususnya anak-anak Asli dan anak-anak di pedalaman. Tidak pernahkah mereka (yang ditangannya punya kuasa) memikirkan kesukaran anak-anak ini menguasai kedua-dua mata pelajaran ini? Oh...mungkin mereka bukanlah berada dalam golongan "Wira Yang Tidak Disyairkan" seperti yang dicirikan oleh allayarham Dato' Razali Ismail dalam catatan lawatan kerja beliau ke Sarawak tahun lalu. Dan saya yakin, mereka yang punya kuasa itu sebenarnya tidak benar-benar berlatar belakangkan bidang perguruan. Sebab itu mereka tidak mampu memahami dan menyelami kepayahan "mangsa-mangsa" PPSMI. Program yang saya rasakan membawa kepada kehancuran Melayu sama seperti kejatuhan empayar gemilang Melayu Melaka satu ketika dahulu. Sebagai guru pelatih, saya sudah beberapa kali ke sekolah untuk membuat kajian dan pemerhatian serta menyudahkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Saya mengambil kesempatan untuk meninjau pelaksanaan program yang sering benar dicanang-canang ini. Sejujurnya, yang negatif itu lebih banyak daripada yang positif. Kasihan melihat murid-murid sukar memahami apa yang diajarkan oleh guru. Apa tidaknya, bahasa Melayu pun mereka belum menguasai sepenuhnya, inikan pula dalam bahasa Inggeris yang sudah pastinya lagi lemah. Bukan itu sahaja, bahasa Melayu juga seolah-olah diketepikan. Bahasa ibunda kita ini dilihat sebagai bahasa yang tidak setanding dengan bahasa penjajah yang terlalu dibangga-banggakan itu. Seolah-olah bahasa kebanggaan kita ini sudah hilang keupayaan untuk membina sebuah negara yang maju membangun. Apa mungkin mereka yang punya kuasa itu lupa akan kegemilangan bahasa Melayu yang pernah bergelar "lingua franca" dan menjadi bahasa perdagangan utama satu ketika dahulu? Oh...Tuhan... Bagaimana ini boleh berlaku? Jika mereka (yang ditangannya punya kuasa) masih lagi menafikan hakikat PPSMI, maka, selamat menuju kehancuran Melayuku... Kita lihat sahaja kerana di tangan kita tidak punya kuasa. Yang mampu dilakukan hanyalah menadah keduanya ke langit dan berdoa agar "Takkan Hilang Melayu Di Dunia"...


*Inilah catatan mengenai lawatan kerja allayarham dato' Razali Ismail ke Sarawak.

Ahad, 11 Januari 2009

Adikku Yang Naif...Mel


Hari ini junior PISMP pulang ke kampus. Gembiranya saya, adik-adik saya dah balik! Kalau dulu mereka bertandang sebagai pelatih Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, tapi kali ini mereka bertandang sebagai bakal siswazah perguruan (bakal guru) yang akan sama-sama melangkah seiring saya. Meriahlah blok Cempaka selepas ni! =) Kami bergotong-royong membantu mengangkut barangan rakan-rakan yang banyak belaka. Saya membantu teman sebilik saya (Wina) yang sudah saya anggap seperti adik saya sendiri. Mel (adik 'superjunior') yang agak rapat dengan saya turut membantu. Seusai membantu Wina, Mel minta diri untuk turun ke bawah. Katanya nak tolong angkut barang-barang Kak Sal pula. Rajin betul budak ni. Semua orang dibantunya. Dari aras bilik saya, saya dapat melihat Mel yang sangat sibuk berbanding orang lain walhal barang-barang yang diangkut bukanlah kepunyaannya. Saya kemudiannya terus membantu Wina mengemas barang-barang miliknya. Selang beberapa minit, saya terdengar seseorang sedang bersuara agak kuat dari aras empat. seperti sedang mengarahkan sesuatu. Saya jengah keluar. Saya terlihat adik junior yang cukup saya kenali sedang mengarahkan Mel mengambil barang-barangnya di tingkat bawah. Huh! Panas hati melihat dia mengarah-ngarah Mel begitu. Mel memang baik. Mel memang rajin. Mel memang suka membantu. Mel memang naif. Tapi bagi saya, tidak sewajarnya mereka mengambil kesempatan terhadap kenaifan adik saya ini. Mungkin mereka fikir mereka boleh mengarahkan apa saja kerana Mel pasti akan buat. Saya benci dengan sikap suka mengambil kesempatan terhadap kebaikan orang lain seperti ini. Melihatkan itu, saya terus saja berkata pada Wina, "nanti bila Mel pindah maktab, kita semua kena tolong dia angkat barang-barang dia." Wina mengangguk faham. Ya...apabila melangkah ke alam PISMP nanti Mel mungkin akan bertukar kampus kerana dia akan mengikuti kursus major Sains. Kampus kami tidak menawarkan kursus itu. Pada masa itu, tidak ada lagi Mel yang rajin menolong. Tidak ada lagi Mel yang ceria dan tidak pernah menghampakan orang. Tidak ada lagi Mel yang baik hati dan ikhlas. Tidak ada lagi Mel di Afzan... Dan saya....pasti akan rindukan adik saya yang punya hati tulus dan ikhlas ini...

Rabu, 7 Januari 2009

Ingin jadi sepertinya...

(Dipetik daripada laman Dato' Baha Zain)

REMAJA
(untuk para fasilitator dan peserta MPR)

Kulihat senyum mereka
cempaka harum sewaktu pagi
dimandi cahaya, seakan mendung tak pernah ada
disirami sinar, seakan senja tak bakal tiba.

Kalau aku piala dahaga merindukan masa lalu
kudengar muzik bergetar dalam dadamu
meraikan masa depan yang pasti berkunjung
kembara panjang yang remang berliku.

Kalau aku hampir sampai ke perhujungan
kulihat waktu merayap memanjat urat-urat usiamu
engkau adalah ibu dan bapa , tua-tua masa depan
penyair yang bersuara berani, berbicara tentang kebenaran
seniman yang tegak berdiri, melukiskan warna zaman.

Kudengar muzik bergetar
mencari arah di persimpangan
mencari wajah perjalanan
teriring doa dan,

Amin

Baha Zain
Dusun Permai
13 Disember, 2008


Termenung membaca puisi ini dititipkan oleh seorang penyair romantis bernama Dato' Baha Zain sewaktu beliau menjadi jemputan bagi slot 'bersama tokoh sastera' dalam Minggu Penulis Remaja yang saya ikuti bulan sudah. Betapa Dato' begitu mengharapkan kami menjadi pewaris ketajaman penanya... Semangat yang ditiup ke dalam diri melalui bait-bait puisi di atas, sungguh-sungguh membuatkan saya berfikir-fikir. Saya mahu jadi sepertinya dan sangat ingin menghasilkan karya sebaik beliau. Tapi, mampukah saya? Payah benar rasanya... Masih lagi merenung dan berfikir-fikir. Sekarang sudah mula sibuk dengan kuliah dan aktiviti institut. Bagaimana perjalanan selepas ini....? Mampukah menjadi seorang pujangga.....? =(

Selasa, 6 Januari 2009

Aduh.... Bagaimana mahu menjadi pujangga...


Hampir sebulan saya pulang daripada MPR (Minggu Penulis Remaja 2008). Tapi hanya dua puisi yang terhasil. Pening memikirkan... Cita-cita mahu jadi seperti fasilitator di MPR dulu...

Pak im, abg sham, abg saiful & kak nas. Tapi nampaknya, masih samar-samar. Susah benar rasanya menjadi seorang pujangga seperti yang diimpi-impikan. Bagaimana ya??? Oh, Tuhan...Kau bukakanlah pintu hatiku ini untuk terus menulis, berikanlah aku kelapangan untuk terus mencanai idea, melakar sebuah impian agar menjadi realiti ....amin...