Jumaat, 27 Februari 2009

Pagi di Desa Cempaka (2)...

Di Pinggir Jendela Kenangan

Aku akan merindu
bila mana angin menerjah
helai-helai halus mahkotaku
seperti saat aku
di pinggir jendela pagi ini.

Aku pasti merindu
bila mana 'ainku terpandang
dua ekor murai
berpacaran di cucur teratakku,
seperti saat aku
di pinggir jendela pagi ini.

Aku yakin merindu
bila mana ada titis jernih
merenik suka pada kaca kamarku,
seperti saat aku
di pinggir jendela pagi ini.

Aku nyata merindu
bila mana ada rima tawa
berlagu ceria pada dengarku,
seperti saat aku
di pinggir jendela pagi ini.

Seperti saat aku di situ
rindu itu milikku
dalam dakapan kenangan.
p/s: IPTAA dalam kenangan... ='(

Isnin, 23 Februari 2009

Cinta Ibarat Menunggu Bas


Tahu tak, cinta sebenarnya sama seperti seseorang yang menunggu bas. Bila bas itu datang, awak tengok bas itu dan awak kata pada diri awak,"Eee…penuhnya…tak ada tempat duduk.” Jadi, awak katakan pada diri awak, “Saya akan tunggu bas yang lain.”

Awak pun biarkan bas itu berlalu dan awak tunggu pula bas yang lain. Kemudian, datang pula bas yang kedua. Awak tengok bas itu dan awak akan cakap, “Eee…bas ni buruk sangat… mesti tak selesa. Dan mungkin bas ni akan rosak di tengah jalan.” Jadi, awak pun biarkan bas buruk itu berlalu dan awak bercadang untuk tunggu bas yang seterusnya.

Setelah beberapa ketika, datang lagi sebuah bas. Bas yang datang itu kosong, tak penuh dan tak seburuk bas yang tadi tapi kali ini awak kata, “Emmm…tak ada air-cond…cuaca pulak panas. Lebih baik saya tunggu bas yang lain.”

Dan sekali lagi awak biarkan bas itu berlalu dan awak bercadang untuk menanti bas yang seterusnya. Tiba-tiba awan mula gelap, cuaca semakin mendung dan baru awak perasan yang awak sudah terlambat rupanya. Awak mula panik dan terus naik bas yang datang ketika itu, walaupun bas itu tak begitu sempurna. Dan kemudian barulah awak sedar bahawa…awak dah naik bas yang salah. Jadi, selama ini awak dah membazir banyak masa dan wang untuk menunggu apa yang awak hendak.

Walaupun yang datang itu adalah bas yang berhawa dingin, adakah awak dapat pastikan bahawa bas itu tak akan rosak di tengah jalan atau mungkin bas itu tak terlalu sejuk untuk awak? Jadi, mengingini apa yang awak idamkan itu memang tak salah. Tapi, tak salah juga kalau anda sanggup memberi satu peluang pada orang lain, kan? Sekiranya awak dapati “bas” itu tidak sesuai dengan awak, apa yang perlu awak lakukan hanya tekan loceng dan turun daripada bas itu.

Tapi…saya pasti awak semua tentu ada pengalaman yang macam ini. Awak nampak sebuah bas datang (tentulah bas yang awak nanti-nantikan), awak tahan bas itu tapi pemandu bas tu pula buat tak faham dan pura-pura buat tak nampak awak dan terus berlalu tinggalkan awak!

Hahahaha… Bila ada bas yang lalu melintasi saya macam itu, apa yang saya lakukan ialah BERJALAN!

Bodoh sebenarnya untuk mengejar bas itu sebab setiap kali, awak akan terjatuh dan menyakiti diri awak sendiri. Jadi, bercinta itu adalah ibarat menunggu bas, sama ada awak nak naik dan beri peluang pada bas itu…semuanya terpulang pada diri awak. Dan bila awak berjalan, awak sebenarnya cuba melarikan diri daripada cinta!

p/s: kiriman daripada teman saya...buat saya tergelak membacanya... =)

Maka...terimalah kau natijahnya...

Nyatanya hari ini
kakiku juga telah
berbuat dosa.
Maka,
terimalah natijahnya!
Pedih!
p/s: huhuhuhu...kakiku sangat sakit... ='(

Ahad, 22 Februari 2009

Pagi di Desa Cempaka (1)...

Wayu pagi mengucup pipiku
memesrai peluk tubuh
dalam kedinginan ciptaan-Nya.
Terbau basah daun yang tersenyum segar,
katanya, "hari ini mentari itu menemaniku lagi."
Tapi,
sekuntum bunga di situ
mengapa mengeluh pilu?
Apa mungkin kelopakmu
gugur lagi menyembah layu
seperti selalu?

Khamis, 5 Februari 2009

Cerita hari ini...

Cerita Sekuntum Bunga...


Sekuntum bunga
Gugur daunnya
Jatuh ke bumi mengucup tanahnya.

Sekuntum bunga
Hilang wanginya
Sirna indah, pudar ronanya.

Sekuntum bunga
Layu segarnya
Menunggu kering pada tangkainya.




Cerita Kehilangan...

Hari ini saya kehilangan seorang sahabat. Sahabat yang saya sayangi. Yang punya hati yang tulus dan pemikiran yang jujur. Hari ini saya kehilangan seorang teman. Yang tertawa bila mendengar cerita saya dan sering saja memberi nasihat penenang jiwa. Hari ini saya kehilangan seorang kawan. Yang mana sedih saya juga menjadi dukanya dan tawa saya menjadi peneman sepinya. Dulu dia ada di sana, saya ada di sini, tapi seiring mengerti. Kini, melangkah tak sama... ='(
Ukhwah yang terbina
persis sekuntum bunga
meskipun kini kita terpisah
demi kasih-Nya...
Namun cebisan kenangan kita
sentiasa bermain di bayangan mata...
Detik waktu yang berlalu
menjadi memori kau dan aku...

Rabu, 4 Februari 2009

Manifesto...kepalsuan yang benar...


Saya baru saja pulang daripada majlis pembentangan manifesto calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya Jawatankuasa Perwakilan Pelajar di kampus saya. Pilihanraya pada kali ini, saya rasakan pilihanraya yang paling meriah berbanding tahun-tahun sudah. Gelagat calon-calon yang sibuk memancing undi, keriuhan penyokong-penyokong parti yang sibuk juga mencanang ketokohan wakil-wakil mereka. Sungguh! Sangat meriah dan riuh-rendah di dewan tadi, malah terbawa-bawa keriuhan tersebut hingga ke kolej kediaman. Geli hati melihat keletah penyokong yang bertindak lebih sudu daripada kuah dan kadangkala agak lucu. Sikit atau banyak, sejujurnya saya pun sedikit-sedikit terikut juga dengan sentimen kepartian yang ditunjukkan oleh rakan-rakan! =) Sebentar tadi, di depan beratus-ratus orang pelatih, satu-persatu manifesto dibentangkan oleh calon-calon dari ketiga-tiga parti yang bertanding. Banyak sungguh janji-janji yang ditaburkan malah banyak juga janji yang diulang suara (manisfesto yang sama setiap tahun). Apabila mereka berdiri dengan segaknya dan berucap dengan yakinnya, terlintas juga di hati; "Benar-benar akan terlaksanakah janji-janji yang diucapkan itu? Atau hanya sekadar hujah memancing undi? Atau mungkin ianya hanya kekal sebagai janji yang tak tertunai yang kemudiannya akan diulang suara dalam pembentangan manifesto pada pilihanraya musim hadapan?". Sukar untuk ditelah... Saya doakan agar calon-calon yang terpilih nanti akan berusaha seikhlas hati dan jujur dalam menyampaikan suara pelajar. Dan saya juga mendoakan mereka tidak akan menjadi klon kebanyakan pemimpin masa kini yang berdiri di atas bukit tinggi tanpa memandang lagi tanah di bumi, yang kononnya hero bangsa tetapi sebenarnya sekadar mengejar kepentingan diri... Wallahua'lam...