Selasa, 7 April 2009

Untuk seketika... Semester 3 yang semakin sesak...

Ana mungkin akan menangguhkan seketika aktiviti kegemaran ana ini. Beberapa perkara penting sudah semakin sesak dalam kepala ana:

9 April 2009
Pembentangan Model-model Pegurusan Bilik Darjah

14-16 April 2008
Kembara Visual Unit PSV di Kuala Tahan

17 April 2009
Kerja kursus Pendidikan Moral perlu dihantar

22-23 April 2009
Ujian amali Pendidikan Seni Visual dan pameran

24 April 2009
Kerja kursus Hubungan Etnik mesti dihantar

Setiap hari Rabu
Latihan teater
( sebagai setiausaha, tidak boleh tidak, ana kena pergi juga... ='( )

Bulan Mei 2009
Peperiksaan akhir semester

Janji yang perlu ditunaikan
1- Esei untuk majalah BIAGA
2- Karya untuk Buletin Budi JPP

Yang perlu disudahkan sebelum tarikh-tarikh di atas muncul???

PASTILAH KERJA-KERJA AMALI SENI YANG BANYAK ITU....Hmmm...
Apa ya???
1- Folio seni Encik Johan (2 buah)
2- Folio seni Encik Shaiful (2 buah)
3- Folio penghasilan catan dan bidang mencorak (2 buah)
Huhuhu...bukan sikit-sikit tau folio ni! ='(
4- Sebuah catan bertemakan keindahan hutan yang dilukis di atas kanvas berukuran 23" x 33" Huhuhu...besau tuuuu...saiz drawing block pun terkial-kial nak sudahkan... Uwaaaa...
5- LIMA produk bagi bidang membuat corak dan rekaan (3 produk untuk 2D dan 2 produk untuk 3D)

Mungkin juga akan ada perkara-perkara yang akan masuk dalam senarai ini bergantung kepada perkembangan semasa di IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan yang indah ini... =)

p/s: Nampaknya ana perlu kerja kuat sepanjang bulan ini, menyudahkan kerja-kerja yang banyak ini. Moga Allah memberikan kemudahan. Doakan ana juga ya...

Jumaat, 3 April 2009

Wahai sang lembu, cerita ini khas untukmu... Moga kau sedar tentang kebodohan memenangkan yang batil...

Maka tersebutlah sebuah kisah tentang sebuah kerajaan rimba yang gah namanya di seluruh pelusuk buana. Kerajaan rimba ini terkenal dengan kepimpinannya yang berkuasa, kononnya baik belaka. Dikhabarkan pula kerajaan rimba ini mempunyai sistem peraturan yang terbaik di seluruh buana. Huh! Itu yang dikhabarkan saja, yang dicanang-canang oleh barisan YB kerajaan rimba. Bukan Yang Berhormat ya, tapi Yang Bodek! Suka kipas mengipas. Itu sebab diberi gelaran YB. Namun, yang nyatanya, indah khabar dari rupa! Begini ceritanya bermula...
Pada suatu hari, sang kancil (salah seorang penduduk yang tidak punya kuasa apa-apa dalam kerajaan rimba) telah dilantik sebagai setiausaha sebuah Projek Mega kononnya. Maka, banyaklah tugas yang perlu dilunaskan oleh sang kancil termasuklah kerja-kerja memohon peruntukan barang-barang untuk kegunaan Projek Mega tersebut. Almaklumlah, nak mengharapkan ahli-ahli Projek Mega mengorbankan sedikit wang, alamatnya sampai ke tahun hadapanpun belum tentu barang-barang yang diperlukan itu dapat disediakan. Alah bisa tegal biasa, seperti sudah menjadi sindrom yang melanda seluruh kerajaan rimba ini; sukakan SUBSIDI!
Suatu hari, sang kancil telah diarahkan membuat permohonan barang-barang yang diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja awal Projek Mega tersebut. Tidak banyak barang yang dipohon oleh ahli jawatankuasa yang terlibat. Cuma sebotol cat pelaka dan sekeping kain putih. Katanya untuk membuat kain rentang bagi memaklumkan kepada seluruh buana tentang Projek Mega tersebut. Almaklumlah, Projek Megalah katakan! Seperti yang diketahui, kerajaan rimba ini mempunyai peraturan maha adil kononnya. Maka, untuk mendapatkan barang-barang ini, sudah pastilah perlu melalui beberapa prosedur penting. Berpergilah sang kancil ini mengisi borang permohonan barang. Ditelitinya borang yang perlu diisi. Mak ai! Tiga tempat perlu ditanda tangani oleh orang-orang besar kerajaan rimba hanya untuk mendapatkan sebotol cat dan sekeping kain yang entah berapa ringgit sajalah harganya. Namun, didiamkan saja oleh sang kancil.
Setelah diisi dengan lengkap, sang kancil pergilah mencari makhluk-makhluk yang diperlukan tanda tangannya. Yang pertama ialah sang kuda. Sang kuda ni adalah penyelaras utama Projek Mega ini. Sebenarnya ada seorang lagi penyelaras iaitu sang semut. Tapi malangnya, sang semut yang rajin dan mudah dibawa berbincang ini tidak ada pula di negeri kerajaan rimba untuk beberapa waktu ini. Maka terpaksalah bertemu muka dengan sang kuda yang terkenal dengan sikap ego dan skematik ini. Seperti yang dijangka, sang kuda banyak pula soalnya. Susah betul dia hendak menurunkan tanda tangan. Dia kata, "Saya bukan lagi ketua bahagian ini (sambil menunjukkan jawatannya yang dahulu.) Tapi sebenarnya saya boleh saja menanda tangani di bahagian ini dan ini (sambil menudingkan jari di bahagian yang perlu ditanda tangani oleh kuasa besar kerajaan rimba). Yang mana ya saya perlu tanda tangan?" 'Ah! Katakan saja kau mahu tunjukkan yang kau sudah dinaikkan pangkat! Sudah tahu boleh tanda tangan di kedua-dua bahagian, pilih sajalah salah satu. Apalah yang disusahkan. Kedua-duanya pun laku! Banyak pula celotehnya,' omel sang kancil di dalam hati. Inilah penyakit yang cukup sukar diubati dalam kerajaan rimba ini. Penyakit ego dan suka menunjuk-nunjuk. Yang bahayanya, penyakit ini mudah berjangkit!
Setelah melihat sang kancil tidak memberi apa-apa respon, sang kuda terdiam dan terus menurunkan tanda tangan di bahagian kedua. Bermakna, sang kancil perlu mencari dua lagi orang yang berkuasa untuk menanda tangani borang tersebut. Berpergilah sang kancil sekali lagi. Kali ini jenuh rasanya. Entah mana duduknya orang-orang ini. Dari satu rimba ke satu rimba dijelajahi. Tidak satu pun yang dijumpai. Sewaktu tiba di sebuah dusun, sang kancil bertemu dengan sang arnab. Ya, sang kancilpun menghantar SMS kepada sang kuda yang menjadi penyelaras Proek Mega ini. Ditanyakan kepada sang kuda sama ada boleh atau tidak sang arnab menanda tangani di ruangan pertama borang tersebut. Mujur sang kuda membenarkan. Lalu sang arnab yang tidak tahu apa-apa ini, terus saja menurunkan tanda tangan. Sang kancil berjanji kepada sang arnab, tidak akan ada apa-apa yang berlaku kerana tanda tangan ini hanya sekadar syarat semata-mata.
Tinggal satu saja lagi tanda tangan yang belum diperoleh. Matahari sudah meninggi. Hampir dua jam sang kancil mencari-cari. Yang terakhir ini adalah kuasa yang paling besar. Terpaksa jugalah sang kancil meneruskan pencarian. Sehingga sanggup sang kancil memasuki taman larangan bagi mencari kelibat orang berkuasa ini. Setibanya di taman larangan, sang kancil menyatakan hasrat kepada pengawal yang ada di situ. Mujur pengawal tersebut memahami dan membawa sang kancil bertemu pembantu peribadi ketua kerajaan rimba. Sang merak ini seperti tidak suka dengan kehadiran sang kancil yang mungkin telah mengganggu kelancaran kerja-kerjanya. Tanpa memandang muka sang kancil, sang merak terus mengatakan sang harimau tidak ada. Katanya, "Pergilah cari sang burung. Dia menjalankan tugas bagi pihak sang harimau hari ini." Aduhai...mungkin sang merak ini stress dengan kerja-kerjanya yang banyak. Sebab itu dia berkelakuan begitu. Hmm...sang kancil sedikit pun tidak kecil hati.
Kemudian sang kancil berlalu pergi dan mencari-cari di mana duduknya sang burung. Puas mencari, sang burung tidak ditemui. Sang kancil sekali lagi memicit punat-punat telefon dan mencari-cari kalau-kalau ada tersimpan nombor untuk menghubungi sang burung. Ya! Ada! Lalu pantas saja sang kancil menelefon sang burung untuk mengetahui koordinat sang burung ketika itu. Jawapan yang tidak disangka-sangka! Sang burung mengatakan yang dia tidak menjalankan tugas bagi pihak sang harimau hari itu. Tetapi yang menjalankan tugas tersebut ialah sang kucing. Aduh! Sang kancil sudah panas hati. Tapi cuba dikawalnya. 'Apalah masalah makhluk-makhluk ini semua?' tanya sang kancil kepada dirinya.
Sang kancil terus memanjat bukit di sebelah timur. Mencari-cari kelibat sang kucing. Alhamdulillah. Mujur ada. Sang kucing ini mudah berurusan dengannya. Tidak tanya banyak, terus saja diturunkan tanda tangan. Katanya, "Saya percaya pada awak. Lagi pula, barangan yang awak minta ini bukanlah banyak. Kerajaan rimba tidak akan rugi berjuta-juta ringgit jika ia diluluskan". Syukur...patutlah kamu menjadi kesayangan Rasulullah wahai sang kucing!
Selepas mendapatkan tanda tangan yang terakhir itu, sang kancil sekali lagi turun ke taman larangan dengan tujuan untuk mendapatkan cop mohor kerajaan rimba. Di sini, sekali lagi kesabaran sang kancil teruji. Satu persatu mahkluk di situ mengatakan borang tersebut tidak boleh ditanda tangani oleh sang kucing. Aduh, bagaimana ini? Tiba-tiba, sang merpati mencelah, "tak mengapa. Betullah yang dibuat oleh sang kancil ini. Kamu semua tak tahu ke yang sang kucing adalah proksi ketua kerajaan rimba pada hari ini?" Yang bersuara kecoh sebentar tadi terdiam. Sang kancil tersenyum. Itulah, lain kali kalau tak tahu apa-apa, jangan pula banyak cakap!
Selepas selesai kesemuanya, sang kancil pergi menghadap sang kuda semula. Kebetulan sang lembu ada bersama-sama di situ. Sang kancil sungguh kepenatan. Hampir 2 jam lebih digunakan untuk mendapatkan 3 tanda tangan bagi memohon sebotol cat dan sekeping kain! Sang lembu tersenyum. Terlepas di mulut sang kancil, "birokrasi berlaku di mana-mana saja!". Sang lembu terkejut. Dibalasnya pula, "memang ya, tapi kamu tak boleh cakap macam tu. Susah kamu nanti. Saya pun susah sebab nanti terlibat dengan kamu."
Huh! Sang kancil memandang sang lembu dengan penuh kejengkelan. Mahu saja disemburnya sang lembu. Mujur ibu sang kancil sudah mengajar supaya menghormati yang tua seperti lembu tua itu. Lalu kata-kata ini hanya terhambur di dalam hati. 'Hei, sang lembu! Sebab itulah kau dipanggil lembu. Otak tidak boleh digunapakai. Hanya tahu mengembu untuk dapat makan. Yang batil engkau menangkan. Memang tepatlah pepatah Melayu mengatakan, bagai lembu dicucuk hidung! Demi kepentingan diri sendiri, yang salah itu engkau turutkan." Sang kuda mencerlang matanya menatap sang kancil. Mungkin dia tahu, ada yang terbuku di hati sang kancil. Sang kancil melangkah keluar dengan rasa sebal di hati.