Rabu, 28 Oktober 2009

Gadis Idaman...

Saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang adik junior. Madah yang sangat terkesan di hati saya. Saya kongsikan bersama anda yang setia menapak ke taman saya khususnya teman muslimah...

- GADIS IDAMAN -

Gadis itu wajahnya berona NUR IMAN...


Mahkotanya dilitupi tanda KEHORMATAN...


Maruah diri dipagari dengan KESOPANAN...


Dialah puteri indah rupawan...


Tika gadis lain sibuk menghiasi diri, dia hiasi NUR ILAHI pada wajahnya...


Tika gadis lain sibuk mencari sang putera, dia selesa bersama CINTA-NYA...


Tika gadis lain sibuk bermadah pujangga, dia tekun dengan bait KATA TUHANNYA...


Tika gadis lain menangisi pemergian arjuna, dia tangisi kehinaan diri SEBAGAI HAMBA...


Gadis itu seperti MAWAR BERDURI, indah dipandang namun sukar dipegang...


Mulianya kerana ketaqwaan, cantiknya kerana keperibadian AKHLAK MULIA...


Kerana itulah dia dikatakan GADIS IDAMAN...


p/s : Terima kasih Norlida. Madah penuh kehalusan, memperingatkan kakakmu ini dalam mengatur langkah membentuk diri dalam meraih cinta-NYA...


Jumaat, 23 Oktober 2009

Ceritera Seni Siri 3 : Tamat Sudah...

21-23 Oktober...tarikh keramat (tidaklah keramat sangat sebenarnya...hehe). Tamat sudah Pameran dan Ujian Amali Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Seni Visual Semester 4. Segala usaha dan penat lelah serta keadaan terkejar-kejar demi menyudahkan kerja-kerja seni berakhir dengan ujian amali dan pameran dan dinilai oleh pensyarah dari IPGM Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah iaitu Tuan Haji Jaafar bin Mahmud. Saya mengabadikan saat-saat yang dilalui sepanjang ujian amali berlangsung untuk tatapan anda...

Nampaknya sedang berusaha menganyam menggunakan segala yang ada...tangan, kaki...kasut??? Kawan-kawan saya kata, ni adalah kerja sambilan saya masa dah tua nanti... hahahaha...

Ini hasil akhir anyaman menggunakan daun mengkuang...nampak tak kemas...kawan saya kata, "tak apa...kita kan amatur..."


Gadis ini bersama karya arcanya, "The Eagle"...konon 'tough' sangatlah tu arca dia...hihihi


Ya...itu dia...sedang disoal selidik oleh penilai...


Aksi-aksi mereka yang kebosanan dan sedikit 'psiko' dengan ujian amali yang sedang berlangsung...hahahaha...

Tahniah dan Terima Kasih kepada :
  • Para pensyarah Seni saya : Encik Basir, Encik Shaiful, Encik Johan
  • Penilai luar : Tn Hj Jaafar bin Mahmud, IPGM Kampus Sultan Abdul Halim
  • Adik Indonrosni yang mengajar saya membuat anyaman
  • Jiran sebelah bilik : Dik Iffah & Dik Ella yang banyak membantu saya dalam menghasilkan arca
  • Roomate saya : Syazwina yang selalu berjaga malam ketika saya membuat kerja-kerja seni
  • Kawan-kawan saya : Pelatih unit PISMP PSV Semester 4
  • Semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam ujian amali ini
Jumpa anda pada pameran dan ujian amali yang akan datang...

p/s : Saya dan mereka...

Terima Kasih Kepada Anda...Anda...Dan Anda...

13-15 Oktober 2009...minggu paling sibuk, paling tertekan, paling serabut...Hahahaha... Nampaknya cuba menyelitkan unsur hiperbola ya di situ... (^^,)v

Apa yang berlaku pada tarikh tersebut???

Majlis Pelancaran Pusat Pedagogi Peribumi Kebangsaan, Konvokesyen KEDAP (graduan Kelas Dewasa untuk orang Asli) & Seminar Pedagogi Peribumi
(Saya menjadi ketua editor bagi penerbitan Buletin sepanjang program ini berlangsung)

Selain itu???

Kerja kursus yang perlu dihantar sebelum atau pada 15 Oktober:
  • Rancangan Pengajaran Harian Pendidikan Moral Tahun 3
  • Rancangan Pengajaran Tahunan Pendidikan Moral Tahun 3 (berkumpulan)
  • Esei ringkas berkaitan "Set Induksi" dalam P & P Pendidikan Moral (berkumpulan)
  • Brosur untuk ujian amali Pendidikan Seni Visual
  • Seni Dalam Pendidikan : Rancangan Pengajaran Harian dan huraian penerapan nilai KBKK
  • Teknologi Dalam Pendidikan : Powerpoint pembelajaran 60 minit
Maka, saya tersangat ingin berterima kasih kepada:

Adik-adik PPISMP Pemulihan (BM) Sem 3 yang sama-sama berpenat lelah untuk Buletin. Terima kasih kerana menjadi wartawan berjaya, editor yang berdedikasi, jurukamera yang pro ala2 jurukamera artis...hehehe...Dan terima kasih juga kerana sanggup berjaga dan bergelak tawa dengan Kak Misz. Terima kasih banyak-banyak!

Sahabatku yang agak sengal...hahahaha....Awang Alya Awang Ali... sangat berterima kasih kerana menjadi ilustrator yang terbaik, Abang Long kami yang sangat bertanggungjawab dan suka bikin orang gelak walaupun kami dalam keadaan 'tension'.

Sahabat sebelah meja di kelas...Wan Nur Hanisah A. Halim. Terima kasih kerana banyak membantu dalam menyudahkan kerja kursus berkumpulan. Terima kasih juga sebab dengan rela menadah telinga untuk mendengar cerita-cerita ku yang kadang-kadang mengarut! Haha...

Dan terima kasih kepada sahabatku Redza dan Faqhreel yang bersusah payah membelikan tiket cuti Deepavali. Terima kasih sahabat!

Terima kasih kepada anda...anda...dan anda....!!!

p/s : Saya memerlukan mereka untuk terus kuat dan ceria di IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan. Dan saya tidak perlukan Mereka untuk tidak merasa sedih dan memikirkan masa yang sudah terlepas.

Sabtu, 3 Oktober 2009

Ceritera Seni Siri 1 : Satu Kerugian Kerana Dapat Major Seni

"Ramai lecturer cakap, satu kerugian Kak Misz buat major Seni sebab Kak Misz berbakat dalam bidang bahasa. Sepatutnya Kak Misz buat major BM..."

Minggu depan Insya-Allah saya akan menghadapi hari-hari mendebarkan selaku guru pelatih Major Pendidikan Seni Visual (tapi taklah berdebar sangat sebenarnya...hahahaha). Seperti semester-semester yang sudah, kami akan menghadapi Minggu Pameran Dan Ujian Amali Pendidikan Seni di mana kami telah diberi beberapa tugasan untuk menghasilkan karya dan karya-karya tersebut akan dipamerkan dan sesi pembentangan akan berlangsung untuk penilaian. Lazimnya, penilai yang bertanggungjawab menilai karya-karya kami ialah pensyarah-pensyarah dari IPGM lain. Pada kali ini, penilai yang akan menilai hasil karya kami ialah Tn. Hj. Judin dari IPGM Kampus Perlis (betul kot nama ni...hehe..kalau salah, mohon maaf). Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar.

Tadi saya ke bilik adik junior selang beberapa bilik daripada bilik saya. Farah namanya. Pergi meminjam kamera untuk mengambil gambar proses penghasilan arca asemblaj saya. Kebetulan Farah juga pelatih Major Pendidikan Seni Visual seperti saya. Duduk sekejap mendengar luahan perasaan adik ini dan teman sebiliknya, Nor. Macam-macam yang diborakkan. Secara keseluruhannya tentulah berkisar dunia seni kami di Afzan ini. Tentang kerja-kerja seni, hari pameran dan ujian amali yang semakin hampir, dan bermacam-macam lagi.

Tapi pada siri ini, saya ingin mengulas tentang 1 perkara. Satu ayat yang terluncur daripada bibir Farah bikin otak saya ligat berpusing - "Ramai lecturer cakap, satu kerugian Kak Misz buat major Seni sebab Kak Misz berbakat dalam bidang bahasa. Sepatutnya Kak Misz buat major BM..." Hmm...sebenarnya saya dah lali dengar ayat ini. Dulu, agak terpengaruh juga dengan kata-kata ini. Terdetik juga untuk menukar major semasa tahun pertama pengajian. Namun, setelah difikir-fikirkan kembali, saya rasa apa yang telah ditakdirkan ini adalah yang terbaik untuk saya.

Ya...memang saya berminat dengan bidang bahasa. Namun, apabila saya melihat kembali kronologi pengajian saya sejak daripada kecil, sememangnya saya lebih terdedah dengan dunia Seni Visual. Sejak kecil saya banyak memasuki pertandingan mewarna dan melukis. Masuk tingkatan 4, saya memilih untuk mengikuti jurusan Sains Reka Cipta, juga berkaitan dengan seni. Semasa mendaftar subjek untuk peperiksaan SPM, saya menambah mata pelajaran Pendidikan Seni Visual. Oleh sebab mata pelajaran tersebut tidak ditawarkan dalam pakej Sains Reka Cipta, maka saya dan beberapa orang rakan lain yang menambah mata pelajaran tersebut terpaksa belajar sendiri dan berusaha lebih sedikit bagi memastikan kami tidak ketinggalan. Dan akhirnya, saya mendapat A1 bagi mata pelajaran tersebut. Alhamdulillah...rezeki diberi Tuhan. Kemudian, saya juga menghadiri temuduga bagi kursus Seni Lukis dan Seni Reka di UiTM Segamat bagi melayakkan diri untuk menyambung Diploma Seni Lukis dan Seni Reka di universiti tersebut. Dan pada hari ini, saya berada di IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, membuat Ijazah Sarjana Muda Perguruan pengkhususan Pendidikan Seni Visual.

Bidang bahasa...debat, puisi, penulisan, sastera. Semuanya adalah kecintaan saya. Namun begitu, saya tidak rasa menjadi 'budak seni' yang sentiasa bergelumang dengan kerja-kerja seni yang tak sudah-sudah itu satu kerugian buat diri saya. Seni adalah kebolehan yang dianugerahkan oleh Allah kepada saya. Ia bukan satu kerugian. Ia adalah satu anugerah. Anugerah yang patut saya syukuri kerana diberikan pelbagai kebolehan. Tidak semestinya saya berbakat dalam bidang bahasa, saya perlu dan mesti membuat major Bahasa Melayu. Analoginya mudah; andaikan anda berbakat dalam bidang nyanyian, tidak semestinya anda perlu menjadi seorang penyanyi bukan? Anda masih boleh menjadi seorang doktor yang berjaya. Seorang doktor yang punya bakat nyanyian yang tinggi. Sebenarnya saya tidak berapa suka dengan frasa 'satu kerugian' itu. Saya kira, apa yang dianugerahkan Allah ini adalah yang terbaik dan terselindung hikmah di sebaliknya. Maka, tidak perlulah saya runsing sama ada saya ini rugi atau tidak menjadi 'budak seni'. =)

Saya akan meneruskan minat saya dalam bidang bahasa dan kekal dengan perjuangan dalam bidang seni. Bukankah bahasa itu juga satu seni? =)

Setiap yang ditentukan itu terkandung seribu satu hikmah yang kadang-kadang kita tak terlihat. Tidak semua yang di dalam dunia ini mampu kita miliki. Kadang-kadang kita perlu berkorban satu atau lebih untuk memperoleh satu yang terbaik. Redha dan syukur...

Catan yang dibuat untuk penilaian ujian amali semester lalu...

p/s : Kepada Farah, terima kasih ya untuk kamera ni. Esok, Kak Misz sambung
siri 2 - kisah budak seni di Afzan...hehehe