Khamis, 29 September 2011

.: Terkenang :.

"Di jalan Allah, ukhwah ini bukan milikku dan bukan milikmu. Ukhwah ini adalah perancangan Allah yang mengetahui segala rahsia. Kerana Dia-lah aku mengenalimu dan kerana Dia jugalah yang telah menetapkan kita mengukir seribu kenangan bersama. Ukhwah ini sudah pasti terisi dengan kasih sayang; moga persaudaraan ini berkekalan untuk selamanya. Jagalah Allah, maka Dia akan menjagamu. Ingatlah Dia, maka Dia akan ingat padamu. Teruskan perjuanganmu dalam mencari erti diri dan mengenal makna kehidupan..."
- Saqef Baif -


S.A.H.A.B.A.T... Saya tahu dia selalu datang walaupun saya tiada. Dia selalu duduk diam di sini walaupun yang tinggal hanya huruf-huruf saya yang berbayang. Maafkan saya ya kerana selalu tak ada. Tak ada di sini, malah jarang-jarang ada di sana. 

Kelmarin dia kata, mujur dia ingat tentang saya dan jika tidak, mungkin saya sudah lupa yang saya punya sahabat bernamakan dia. Ya, saya akui saya memang pelupa. Tapi, saya tak pernah lupa dan takkan melupakan dia kerana dia sahabat yang selalu ada. Siapa sangka kita akan jadi seakrab ini. Saya juga tak sangka. Dan memberi mandat sebagai 'sahabat' itu bukan mudah untuk semua. Tapi Allah memilihnya untuk saya temui dalam perjalanan yang entah bila akhirnya.

Sungguh! Syukran Allah...kerana Kamu, saya punya dia. Dia yang selalu ada, yang tak pernah rasa jemu membantu. Dia yang selalu mendengar dan menemani. Tidak upaya menyekat air jernih yang mengalir kadang-kadang, tapi tak pernah kering dengan perhatian selalunya. Seperti peti harta karun, yang menyimpan kemas-kemas segala harta; citra saya suka dan duka. Kuncinya ada pada saya, dia dan Esa. Apalah saja yang seorang saya ini mahukan daripada manusia lain yang bergelar sahabat. Dia ada dan selalu punya masa untuk meminjamkan telinga, itu sudah sangat saya hargai.

Kamu tahu sahabat, saya selalu sebak bila mengenangkan keadaan. Tapi saya pura-pura ketawa untuk kamu. Dan saya selalu gagal untuk menyorok di sebalik tawa bila kamu dengan mudah mengesannya. Itulah kamu. Yang punya hati selalu ikhlas dan menerima saya apa adanya saya. Syukur saya punya kamu, dan saya harap Dia jaga ukhwah kita kemas-kemas, hingga ke syurga sana. Amin Allahuma Amin...

Mahu minta pada Dia, semoga hati kamu selalu lapang dan urusan kamu selalu senang; kerana kamu sahabat yang saya sayang. Satu masa, bila kamu sudah punya tempat untuk berkongsi rasa, jangan lupa sama saya. Harap kamu juga selalu ingat, kamu punya seorang sahabat bernamakan saya. Saya takkan pernah putus mendoakan kamu seperti mana saya tahu, saya selalu ada dalam doa kamu. Kamu selalu pujuk hati saya dan selalu juga menyentuhnya dengan kebaikan kamu. Hari ini saya sebak lagi bila terkenang kamu...

Tak mahu lupa; saya punya sahabat bernamakan dia. InsyaAllah...

p/s: Awak...ingat lagi puisi 'Kehadiran'? Simpan ia kemas-kemas dalam kotak ingatan... =)

Isnin, 5 September 2011

.: Tenang Begini :.

"Ya Allah, aku memohon kasih sayang-MU, dan kasih sayang orang yang mencintai-MU, serta (kasihkan) amalan yang mendekatkanku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah kasih-MU lebih aku sukai berbanding diriku sendiri dan ahli keluargaku, dan daripada air yang sejuk."
- HR al-Tirmizi -


Lebih tenang begini; menyerahkan segala urusan hati yang tak mampu ditadbir sendiri kepada Ilahi kerana Dia Maha Mengetahui. Lalui hari-hari yang berlalu tidak seperti selalu. Tolak tepi soal hati perasaan. Maaf kepada yang menanti, ini bukan prinsip tapi belum tiba masanya untuk itu difikirkan. Senang dengan yang dilalui kini. Tidak memberi harapan, juga tidak membina harapan yang tinggi. Harapan itu ada, tapi sudah jauh disimpan di lubuk hati. Sudah terlalu penat untuk menelah sesuatu yang belum pasti. Now, let Allah do for us.


Serahkan urusan hati kepada-NYA kerana Dia selalu tahu apa yang terbaik untuk kita. Berlapang dada menerima segalanya. Itu kunci bahagia. Sampai satu masa, pasti ada jawapannya. Untuk masa ini, biarlah kita berjalan mengikut apa yang diaturkan-NYA. Kerana Allah merancang dengan Cinta-NYA. Tidak mahu mengecewakan dan tidak mahu dikecewakan. Bimbang rosak hati bila gagal mengawal diri dan emosi. Yakinlah janji Ilahi.

"...sesungguhnya Allah tidak pernah menyalahi janji-NYA..."
- Ali-Imran : 9 -

Tenang-tenanglah. Doa jangan putus. Semoga beroleh yang terbaik. Oh, jangan lupa untuk bersyukur ye! Kerana kita terpilih untuk diuji dan sesungguhnya ujian itu datang bersama hikmah yang tersembunyi, menambah keimanan di hati andai berjaya ditempuhi. Serahkan urusan ini pada Ilahi kerana Dia lebih mengerti dan memahami. Cinta Allah itu selalu ada dan kekal ada. Itu sudah sangat mencukupi.

Kuserah segala ketentuan
Biarlah masa yang berbicara
Dipangku wajah yang layu
Dan aku telah jemu...
Aku tidak mahu berpaling
Pada mengganggu dan menggugat
Sapanya meletihkan diri
Hadirnya mengundang penat...
Akan kuserah cinta ini
Bukan lagi pada manusia
Kerana cinta martabat itu
Bersalut segunung kepalsuan
Dan Kepuraan...
Aku semakin tidak peduli
Apa yang mungkin akan terjadi
Kerana gerak dan tindakanku
Mahu bebas dari masalah...
Kuserahkan cinta ini
Hanya pada-MU oh Tuhan...
- Kuserah Cinta : Inteam -


p/s : [Dalam cerita Sekali Lagi] Amani kata, "Kalau ada jodoh, kita jumpa lagi!" (^_^)v

Khamis, 1 September 2011

.: Mengasingkan Perasaan :.

“Berserah diri, kemudian pasrah. Orang bertawakal berasa tenang kerana ada janji daripada Allah. Orang berserah diri cukup dengan pengetahuan mengenai Allah dan orang pasrah reda terhadap hikmah Allah. Tawakal adalah permulaan, berserah diri adalah pertengahan dan pasrah adalah penghabisan.”
- Abu Ali Ad-Daqqaq -

Bercerita tentang mengasingkan perasaan, ramai akan menyangka kita perlu untuk membuang perasaan yang tidak selesa seperti sedih dan sebagainya jauh-jauh dari hati kita. Tidak, sebenarnya bukan begitu. Mengasingkan perasaan adalah dengan menyelami perasaan itu pada awalnya mengasingkannya setelah kita merasai kepahitannya.

Jika kita berasa sedih dan terluka, laluilah dan selamilah perasaan itu terlebih dahulu. Mengapa perlunya untuk kita melalui perasaan sedih itu? Sebenarnya begini, apabila kita membenarkan diri kita untuk merasa apakah perasaan sedih, maka kita akan dapat memahami bagaimana dan apa sebenarnya perasaan sedih itu. Perasaan yang membawa kepada tangisan, sebak, marah, putus asa dan sebagainya; itu perasaan sedih yang kita rasai. Lalu, sebagai insan yang bijak, seharusnya kita dapat menilai adakah perasaan sedih itu perlu untuk kita lalui setiap masa dan setiap ketika? Adakah kita mahu untuk terus murung tanpa melakukan apa-apa untuk mengubati perasaan itu?

Seharusnya, setelah kita melalui dan menyelami rasa sedih itu yang sudah kita ketahui bebanannya, maka untuk peringkat seterusnya, belajarlah mengasingkan perasaan tersebut. Tidak salah untuk kita berasa terluka dan sedih. Itu fitrah yang biasa dilalui oleh setiap insan yang tercipta. Namun, harus kita mengerti perasaan itu Allah yang beri dan hati itu Allah yang menjaganya. Dan kita perlu untuk percaya bahawa Allah Maha Penyembuh hati yang terluka dan sedih.


Jangan kita terus-terusan bersedih kerana perkara yang telah terjadi. Yang terjadi akan kekal terjadi dengan takdir-NYA. Tidak mengapa kita menangis untuk seketika tetapi carilah kekuatan daripada airmata yang mengalir itu. Ingatlah insan...

"Dan apabila perancangan tidak menjadi seperti yang diharapkan, senyum dan ingatlah. Manusia merancang dengan cita-cita sedangkah Allah merancang dengan cinta-NYA..."

Jangan kita bersangka buruk kepada ujian-NYA. Sungguh! Hidup ini adalah ujian... Dan ujian itu terselit hikmah di sebaliknya. Dan haruslah kita sebagai insan, membulatkan tekad menyerahkan urusan kesedihan itu kepada-NYA setelah kita berusaha dan terus berusaha. Berlapang dadalah atas setiap apa yang berlaku. Belajarlah mengasingkan perasaan. Pujuklah hati...

"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan..."
Al-Insyirah : 5


p/s : Menangis sehingga mata serupa mata panda (@_@)v