Selasa, 24 Mei 2011

Bahagiakan hatimu...

Kebahagiaan itu lahir dari hati yang bahagia; bukan bahagia yang dicipta tanpa redha-NYA. Berbaik sangkalah dengan ujian Allah. Tersenyumlah... Tenang dan sabar akan membawa hatimu kepada bahagia yang diredhai. InsyaAllah...

"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?"
(Ar-Rahman : 13)


Allah sedang menguji. Menangisi fitrah duka yang datang tak terjangka cukuplah hanya untuk seketika. Kerana ujian itu juga adalah nikmat, andai kita redha menyingkap tabir hikmah di sebaliknya.


Hidup tidak selalunya berlaku seperti yang kita mahu. Tidak mengapa kita menangis ketika hati terjeruk luka. Namun, bila air mata itu berhenti, itu adalah masa untuk kita bina kekuatan dan terus melangkah. Kerana takdir yang digariskan Allah itu indah dan berhikmah. Allah menguji hamba-NYA sekadar kemampuan. La yukallifullahu nafsan illa wus'aha. Tidak Allah membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.


Tersenyumlah kita hati sangat mahu menangis. Kekuatan hati itu bukan mudah untuk dibina namun tidak payah juga jika kita berusaha membinanya. Usaha jangan putus, doa jangan kering. Moga damai itu mengetuk pintu hati.

Tenang dan sabarlah kerana hanya mereka yang sabar berjaya memiliki. Ya...memiliki hati yang bahagia. Bukankah nikmat Allah yang lain melimpah ruah untuk kita?

Bahagiakan hatimu dengan cinta-NYA. Kasih manusia selalu bermusim. Sayang manusia tiada abadi. Kasih Allah tiada bertepi, sayang Allah janji-NYA pasti. Bangkitlah! Lakar pelangi di langit hati. Semoga warna-warni dari biasan cahaya cinta-NYA mampu membuatkan hatimu bahagia. Bahagia yang diredhai mudah-mudahan. InsyaAllah...

p/s : Jika kita mengharap pada cinta manusia, mungkin kita dihadiahkan rasa kecewa dan kehilangan di akhirnya. Tapi cinta Allah tidak begitu. Dia tidak pernah hilang. Ada dan akan sentiasa ada. Tersenyumlah... Usah ditangisi yang bukan milikmu.

Tiada ulasan: