Selasa, 11 September 2012

Tiada Tajuk... Suka-suka saja...

"Kalau kau tak tahu menulis tentang EMAS, menulislah tentang TIMAH atau PERAK. Asalkan bukan sampah!"
~ Fynn Jamal ~



Assalamualaikum kawan-kawan! Uh...meng'update' blog di waktu persekolahan??? Ohhooo...nanti ada juga yang buat entri, cikgu cikgi ni banyak sangat masa sampai boleh update blog... hehe.. Hade aku kesah??? Uh...kasau bunyinya mek ayat mung... hihihi...

MASA. Pedulilah... Ni je 'free time' yang aku ada untuk merapu-rapu dengan jayanya di kertas maya sendiri setelah berbulan-bulan bergelumang dengan perkara-perkara haru yang tak sudah-sudah. Cinta aku kata, "Kerja mana pernah selesailah sayang!". Ya, betullah tu. Alangkah THE BESTnya kan dapat duduk rumah masak-masak, makan-makan, tulis-tulis saja... Oh, itu ALANGKAH jela... Angan-angan yang hampir mustahillah terjadi. Kerjalah selagi aku dibenarkan oleh DIA untuk bekerja. DIA tak pernah ajar hamba-NYA jadi malas usaha.

MALAS = KAU MAKAN PASIR sajalah.

USAHA. Kek pasir bersalut lumpur, pasir masak rendang tok, sup pasir, pasir tiga rasa, pasir masak kicap, pasir pasir dan pasir. Itu kalau kau malas usahalah kan. Aku juga tak pernah ajar diri aku untuk jadi malas dan culas. USAHA TANGGA KEJAYAAN.. huhu...nampak tipikal sangatlah ayat ini kan. Tapi kau bacalah dengan jiwa, jangan baca dengan mata semata-mata. Kalau kau baca tutup mata pun, haruslah kau tahu kan. Tapi tak berguna dan tak diguna-guna jugalah kalau kau sekadar baca tanpa rasa dan kesedaran. OK dah.

HADIAH. Minggu lepas aku ada hadiah untuk diri aku sendiri. Ngeeee~ Bukanlah satu benda yang pelik bagi seorang aku untuk menghadiahi diri sendiri dengan apa-apa saja yang aku suka. Ya, 'keyword'nya, YANG AKU SUKA. Dalam hidup, aku bukanlah penggemar yang banyak menyenaraikan perkara-perkara kesukaan. Sungguh! Tak tipu ni. Aku suka yang biasa-biasa. Aku suka apa yang aku suka. Kalau kau orang tak suka, itu kau orang punya sukalah. Hihihi... Dan yang aku suka tu TAK BANYAK. Tak banyak tapi besar. Hihihi... Nah, ELEGAN untuk santapan mata kau orang. Ni la salah satu perkara yang aku suka dalam hidup aku.

RASA. Kau tahu apa rasanya bila yang kau mimpi-mimpi jadi realiti? Berbunga-bunga sampai mengalir air mata kau tahu. Hihi... Syukur sama DIA kerana telah mengizinkan impian aku jadi nyata. Mak dan Pak. Dua manusia yang selalu menyimpan bangga dalam senyap. Senyum puas-puas dapat tabur bunga-bunga gembira dalam hati mereka. Syukur teramat! Pakcik hensem pujaan hati - walaupun tak datang masa pelancaran, tak mengapalah, sampai juga SMS darinya. Itu dah cukup buat aku rasa terharu. Pak Cik, terima kasih ya untuk kek-kek yang sedap tu. Terima kasih juga kerana ada cinta! Buat orang dan orang yang selalu ada dan membentangkan ruang serta peluang untuk aku, semoga DIA beri kamu kemudahan dalam apa saja. Dulu ustazah kata, kalau kita tolong orang nanti Tuhan hadiahkan sesuatu dengan nilai berganda. Semoga janji itu tunai untuk kalian. Allahuma amin.

PUJANGGA. Dulu aku bermimpi juga, mahu jadi pujangga kononnya. Entah. Mimpi lagilah. Tapi kawan aku tulis di status FBnya. 

"Mimpi itu percuma. Mimpilah. Tapi selepas itu kau bangunlah, pergi kerja."

Ya, betullah tu. Mimpi itu percuma. Aku boleh mimpi apa saja. Tapi kalau aku tak usaha, ada aku dapat semua? Tentu-tentulah tak ada kan... Maka, masih aku berpegang pada USAHA, DOA dan TAWAKKAL. Mana tahu, satu masa nanti aku boleh jadi penulis kecil dengan sumbangan yang besar untuk umat manusia. Siapa tahu kan? Aku cuma mahu apa yang aku tulis itu bawa orang dekat sama DIA. Pahala sampai syurga. Itu saja.Aku tak mahu menulis yang bukan-bukan, yang bawa manusia menangis, meraung, murung sepanjang zaman, bergula-gula dengan rasa tanpa fikir tentang DIA. Oh tidaklah. Tak mahu lagi macam tu. Aku mula rasa yang menulis itu tanggungjawab besar. Habuan - itu bukan keutamaan dalam aku menulis. Cukuplah apa yang aku ada - berlebih, aku syukur, berkurang juga aku syukur. Ada la tu hikmahnya. Menulis itu cinta. Menulis untuk memberi. Apa yang aku suka dan aku pilih untuk ada dalam hidupku. Semoga bermanfaat dunia akhirat. Itu saja.

FAHAM. Semakin hari semakin banyak yang aku mengerti - tentang hidup dan nilai hati. Dan semakin aku suka jadi pemerhati, buat pedoman diri sendiri. Malas nak cakap banyak sebab manusia sebenarnya lebih mengerti perihal diri sendiri. Yang molek, kau teruskanlah. Yang kurang cantik, kau betulkanlah. Aku menulis dan ajak kalian jadi baik, bukan bermakna aku yang terbaik. Tapi aku sedang belajar untuk jadi baik dan bawa kau orang sekali. Ya, mungkin kau orang kata, 'kubur masing-masing'. Betullah tu. Tapi kalau lahad kau sebelah lahad orang lain, lepas itu gedebak gedebuk dibantai siang malam, tak ke kita menyusahkan jiran tetangga yang sedang 'lena'? Bising tau... Maka, jomlah kau. Kalau nak ikut, ikutlah. Nak tinggal sini pun aku tak paksa. OK bai. 


p/s : Mohon dipermudahkan segala urusan kalian dan urusan aku juga. Allahuma amin.

Rabu, 4 Julai 2012

.: Malam Bahagia :.

"Allahuma yassir walaa tu'assir..."
~ Ya Allah permudahkanlah, jangan dipersulit... ~


NISFU SYAABAN... Bersua lagi angka 15 pada malam yang dijanjikan bahagia. Ya Rabb, terima kasih! Memberi ruang dan peluang. Bagaimana agaknya kondisi buku amalan kita diangkat saat hampir tenggelam matahari tadi ya? Allah, yakin, bukanlah aku seorang hamba yang tersenarai penuh amalan baiknya. Ampun Ya Rabb andai yang tercatit itu menyebelah pada ruang yang tidak molek.

Hati. Tempat jatuhnya pandangan Allah. Nabi kata, "Dalam tubuh manusia itu ada seketul daging. Jika buruk daging itu, maka buruklah manusia itu. Begitu juga sebaliknya..." Kamu tahu kawan, daging itulah hati. Raja kerajaan tubuh.Selalu bikin manusia jadi bingung dengan tindak tanduk sendiri. Buat manusia selalu menyimpang rasa dan tindak. semuanya kerja hati.  Sukarnya mendidik hati supaya menghadam makna sabar dan tenang. Sedang dua itulah kunci yang mengikat hati daripada rasa yang bukan-bukan. Malang terselalu. Hati di depan, rasa dituruti. Maka, manusia seperti saya ini gagal lagi mengharungi tatkala hati diuji. Ampun Ya Rabb... Pulang hati sama DIA. Laa ilaha illallah...

Tenang. Yakin janji DIA. Malam ini peluang lagi. Hadiah daripada DIA yang selalu ada. Cuci hati bagi tenang. Biar tak berbekas rasa yang tak sepatutnya ada. Ya, kita manusia. Bukan nabi yang maksum. Tapi nabi yang sedia maklum bahawa baginda itu maksum, tetap juga menjadi setaat-taat dan sebaik-baik manusia. Setinggi-tinggi sabar dan sekuat-kuat hati dibina. Dan kita? Sayalah terutamanya. Kadang-kadang saja mahu bercinta dengan tenang. Teruknya diri. Ampun Ya Rabb...

Hitung. Bila dikenang-kenang, banyak buruk daripada baik yang dibuat. Tak beringat masa buat. Menyesal sesudah terjadi. Itu yang sering seorang saya lakukan. Hati minta diberi tenang dengan selalu, tapi hati dibaja juga dengan rasa yang tak 'best' kerap kali. Maka, tenang manakah yang ingin bertamu? Allah... (T_T) Cuai lagi mendidik hati. Tenggelam dalam rasa yang entah apa-apa. Semakin hari, semakin terasa diri tak sekuat dulu. Motivasi jiwa macam chipsmore. Sekejap ada, sekejap tak ada. Semakin kurang bersenyum tatkala diuji. Ah, rugi teramat! Mahu kembali seperti dulu. Yang tenang dan bertabah dengan selalu.

Bersih. Mari bersihkan hati untuk meraih tenang. Biar buku amalan baru itu tertulis yang manis-manis. Biar kita sama-sama jadi manusia baik. Baik hati dan baik budi. Hati kita milik DIA. Meminjam milik-NYA haruskah kita mengotori dengan sesuka? Serupa orang meminjam empunya kita. Mahu kita terima pulangan yang kotor dan cela? Tak mahu pastinya. Tapi Allah tak kejam. DIA beri kita ruang dan peluang terlalu selalu. Supaya sempat kita membersihkan sebelum memulangkan. Alhamdulillah. 

"Sesungguhnya Allah menurunkan (malaikat dengan perintah-NYA) pada malam nisfu Syaaban ke langit dunia, lalu Allah mengampui dosa-dosa (dosa para hamba-NYA di mana kemapunan) pada malam itu lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu kambing peliharaan (bani) Kalb."
[HR Imam Ahmad Rahmallah]



Allah. Engkau penentu tiap sesuatu. Mohon dipermudahkan segala urusan. Mohon dengan sungguh-sungguh. Moga diberi kesabaran dan kekuatan untuk bertahan dalam lautan ujian.




Pulang pada

DIA...

~ TERIMA  KASIH ALLAH ~

p/s : Mohon maaf pada semua yang pernah disakiti mahupun tersakiti. Semoga disisipkan rasa kemaafan itu di dalam hati kalian. Dan saya untuk kalian, seperti selalunya - maaf itu ada dan terus ada. Berlalu bagai air mengalir tak berhalang.


Isnin, 25 Jun 2012

.: J.E.L.A.S :.

Menjelaskan itu kamu.
Mendengar itu saya.
Memahamkan itu kita.
Maka, tenang itu berbunga.
Terima kasih, cinta!

...Kabur itu berlalu...
...Tiada ragu...

Masjid Pulau Melaka, Jun 2012

p/s : Cinta... Semoga dipermudahkan segalanya... Amin Allahuma Amin...

Khamis, 7 Jun 2012

.: M.A.A.F :.


Sebuah kata bernama RASA...
Mengaturnya tidaklah payah, bukan jugalah mudah. 
Jauh di dalam, luar jarang dapat dijangka.
Meneka itu ada, namun tepatnya bukanlah biasa.

Milik kamu...
Senyum di luar, ketawa nyata.
Mata menyinar duka bukan dapat disorok-sorok.
Memahaminya dari gerak bicara tersusun.
Indah.
Namun sirat di balik perlu juga dihadam molek.
Itu yang jarang sekali si penama SAYA ini mengerti.

Diri...
Ceroboh yang namanya RASA itu telah terlajak.
Bila kuasa hati meraja, berkurang nilai putih di dalam.
Maafkan seorang SAYA ya.
Meluka secara tak sengaja.
Mengeruh jernih yang ada.
Sungguh...
Selalu cuba untuk melapangkan ruang jiwa.
Agar 'terima' itu dipelajari.
Cuma kadang-kadang tak tertebas semak ragu yang meninggi.
Pada musim yang tiba-tiba ada.

Masa...
Bukan dapat diputar semula.
Hanya dapat dianyam menjadi ingatan.
Telah terjadi, maka statusnya tetap 'telah terjadi'.
Cuma mengharap, bilah-bilah masa yang akan hadir
tersulam kemaafan bersamanya...

Kalaulah...
Seorang saya itu bukanlah ada seperti dulu,
Mungkin yang cerah tak bertukar kelabu.
Kalaulah...
Mengundur itu boleh dan perlu,
pasti langkah ini diatur begitu.
Biar jernih semula yang dikocak keruh.
Tapi apalah adanya sebuah percaya pada kata 'KALAU'.
Seperti sengaja mencantas kuntum redha yang sepatutnya dibenarkan berkembang wangi.

Sedang belajar...
Dan akan terus belajar.
Untuk berlapang dada.
Bermesra dengan istilah 'terima'.
Tidak mahu berulang kali melukakan.
Biar ini yang pertama juga yang terakhir.
Seorang saya mengocak rasa seorang kamu.
Yang jauh dan tak bernah bertemu tetapi lebih dulu ada.

Maaf.
Dan itu nama sebuah kata yang terlalu didamba.


p/s : Tuhan...jauhi saya daripada terus mengusik rasa dan melukakan. Amin Allahuma Amin. 





Bersalah teramat. Maafkan saya. (T_T) Semoga selepas ini dan kemudiannya akan baik-baik saja ya antara kita.


Rabu, 6 Jun 2012

.: Cuti Sekolah = Kenduri Kahwin :.


Salam kawan-kawan. Hari ini hari RABU. Bermakna tak sampai seminggu je lagi sekolah berstatus CUTI. Maka, cikgu cikgi kenalah bersedia mental dan fizikal untuk menyambung P & P minggu depan ye... huhuhu... cuti kali ni tersangatlah sibuk ke sana ke mari. Sibuk pergi kenduri kahwin kawan-kawan. Kenduri saya? haha...Gelak je boleh tak? Entahlah...tak tau le bilanya... Yang pastinya, cuti sekolahlah jugak. Cuti sekolah bila? Haaa...tu yang kita tak tahu. Hehe...

Bercerita soal nikah kahwin ni, ada satu hadith nak kongsi dengan awak semua. Mari sini baca elok-elok, hadam molek-molek.

"Nikah itu sunnahku. Maka, sesiapa yang membenci sunnahku, sesungguhnya dia bukan daripada golonganku."
[ HR Ibnu Majjah ]

Ya...ini Nabi yang kata, bukan saya yang kata. Maka jangan sesekali kita mengatakan TIDAK kepada berkahwin. Kahwin itu bahasa kitalah, bahasa manisnya 'nikah'. Ada juga segelintir manusia, merasakan kahwin itu satu bebanan - membatas pergerakan, menambah tekanan. Jangan ya...jangan pernah kita berfikir macam tu. Kalian tahu tak, banyak maslahat bila kita memilih untuk berumah tangga? Tak percaya, pergi tanya Pakcik Google. Boleh baca dan hadam sendiri. Boleh juga buka tafsir, lihat maksud beberapa ayat yang menuntut agar kita berkahwin.

Secara psikologinya, berkahwin itu sebenarnya mengurangkan tekanan. Bila dah kahwin, banyak cerita boleh kongsi sama-sama. Banyak masalah bukan sendiri-sendiri simpan. Bila 'tertekan' boleh minta dipujuk. Tahu tak, kadar ke'tension'an itu akan berkurang melalui sentuhan dan pujukan? Betul...saya baca dalam buku Pengurusan Stress masa nak buat assigment di kampus dulu-dulu. Tak tahu ya...ini dah tahu ni, maka cepat-cepatlah kahwin! haha...guarau ja...

~ Siti Nor Saadah binti Satar ~
(Sekinchan, Selangor)

Ya...perkahwinan itu tanggungjawab dan pengorbanan. Kalian tahu, bagi si gadis - memilih untuk berkahwin itu adalah keputusan besar yang merupakan satu pengorbanan dalam hidupnya. Beralih status menjadi seorang isteri, memilih untuk merelakan diri dalam apa jua keadaan bersama seorang lelaki yang hanya dikenali semasa dewasanya. Selepas berkahwin, seluruh hidupnya milik Allah dan suami. Baik, buruk, kurang, lemah - harus terima dengan redha. Kerana dirinya sudah bergelar ISTERI. Syurganya pada redha SUAMI. Itu bukan sesuatu yang mudah ya kawan-kawan... Tapi perempuanlah yang paling mudah jalannya nak meraih pahala berganda sesudah bersuami. Tak percaya? Baca ini...

"Bila isteri itu mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya dan mematuhi suruh dan larangan suaminya, maka dimasukkan dia ke dalam syurga." 
[ HR Abu Hurairah ]

Seronok kan kan kan??? Tapi bukanlah mudah ye kawan-kawan nak jadi isteri solehah ni. Tak mengapa, BERUSAHA BERJAYA! Walau diuji sehebat mana jiwa, bertahanlah dengan segala cuaca. Kalau hujan ribut sekalipun, andai masih mampu bertahan, bertahanlah. InsyaAllah, bahagia itu menyinar juga akhirnya. (huhu...saya ni pandai cakap je, belum tahu lagi perjalanan saya nanti bagaimana...)

Bagi lelaki pun begitu juga. Perkahwinan adalah tanggungjawab. Ibu bapa, isteri dan anak-anak menjadi keutamaan selepas berkahwin. Memilih si gadis sebagai teman hidup, jangan pula sampai 'tersia-sia' kehidupan anak orang ya kawan-kawan. Tepuk dada, tanya iman. Mengambilnya sebagai isteri atas dasar cinta semata-mata atau atas dasar dia sebagai 'pelengkap hidup'? Antara dua... Baca ini dan faham dalam-dalam:

"Sebaik-baik lelaki adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak mempunyai budi pekerti." [ HR Abu Asakir ]

~ Si Cantik Nursuhaila Binti Mohd Yaccob ~
(Kemaman, Terengganu)

Dan ini lagi...

Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda :
"Orang mu'min yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan orang yang paling baik di antara kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya." 
[HR Tirmizi]

Makanya, bila sudah bergelar suami, harus berlaku baik terhadap isteri ya kawan-kawan. Jangan yang manis itu ketika bercinta saja. Orang tua-tua cakap, "Masa belum dapat, manis bahasa - lembut gigi daripada lidah." Oh...tidaklah.... Semoga kita tak jadi begitu. Semoga bahagia mengiringi rumah tangga kita semua sampai syurga sana. Amin.

Paling utama adalah kesefahaman. Saling memberi dan menerima. Saya percaya, kelebihan itu anugerah dan kekurangan itu melengkapkan fitrah. Hati perlu selalu lapang, selalu berbaik sangka. Suami isteri, tolak ansur paling utama. Kasih sayang pengikat bahagia. Bila menyayangi, hati jangan berbagi-bagi. Sentiasa bersyukur pada Ilahi dikurniakan teman hati yang selalu ada di sisi. Menerima apa adanya diri, itu sudah sangat memadai. Kawan-kawan...semoga hati kita selalu lapang dan tenang pada saatnya kita mengotakan sunnah Kekasih Dia. Amin Allahuma Amin...

~ Si kecik Wan Nur Hanisah binti A. Halim ~
(Dungun, Terengganu)

Nabi kata, 

"Lelaki yang paling baik dari umatku adalah lelaki yang paling baik kepada isterinya. Dan wanita yang paling baik dari umatku adalah yang paling baik kepada suaminya..."

p/s : Semoga kita semua diberi bahagia dunia dan akhirat... Amin Allahuma Amin...

Selasa, 29 Mei 2012

.: Ubat Hati :.

"Sesungguhnya Allah tidak menerima sesuatu amalan melainkan 
ikhlas kepada-NYA, dan ditujukan hanya untuk-NYA"
~ HR Abu Dawud dan An-Nasa'i ~

Allah...
Zahirnya aku seperti rela, namun jauh di dalam, aku juga tahu - ikhlas itu tiada.
Allah...
Tidak pernah aku ketahui rencana perjalanan yang Engkau takdirkan untukku.
Namun kuyakini segalanya adalah yang terbaik dari-MU.
Allah...
Aku menghulur tangan dalam tangis yang teresak,
menangisi rela yang bukan ikhlas.
Zahir aku tersenyum, namun di balik rasa berderai perasaan.
Allah...
Semakin aku berdiam, semakin hati dan jiwa jadi permainan.
Apakah ini yang tertakdir untukku?
Atau ini timbang tara yang Engkau lorongkan untuk aku mencanai pilihan?
Allah...
Yang Maha Tahu tiap sesuatu, Pemilik segala rasa.
Engkau sebaik-baik Penentu.
Kepada-MU aku berserah...

Allah...jauhi aku dari rasa 'sakit' dalam tiap huluran dan ucapan manisku.
Kumohon, berikan aku ketenangan dan kesabaran untuk terus bertahan
walau sehebat mana diuji kekuatan.
Amin Allahuma Amin...

p/s : Sebuah 'rasa' selalunya mematikan hati dan menganiaya perasaan.

Jumaat, 18 Mei 2012

.: W.H.I :.

Jarang sekali menonton. Tapi topik Wanita Hari Ini, TV 3, 18 Mei 2012... Tiba-tiba menarik hati nak menghadamnya... hmmm...

~ JASAD UNTUK ISTERI, HATI UNTUK KEKASIH LAMA ~


Boleh ye macam tu? Beruntunglah yang lama, makan hatilah yang baru... Tapi boleh kata apa lagi? Dah jadi suami dah pun. Tahan dan makan hati jela... Doa banyak-banyak, supaya hati si suami dapat disentuh lagi. 'Hati' hanya boleh disentuh dengan 'hati'... 


Walau suami berlaku seperti kata-kata di atas ni, isteri tetaplah juga namanya wanita. Tetaplah juga memaafkan dengan selalu. Kan kan kan? Lazimnya begitu... hmm...

"Bila dia mencintai, maka dia mencintai sepenuh hati. Sampai sanggup melukakan hati sendiri."
~ Ini adalah WANITA yang hatinya terlalu kasih ~

Entah ini satu kesilapan atau ini satu permulaan untuk bertabah dalam menempuh hidup sebagai seorang isteri yang hati suaminya bukan ada di sisi.
Entah... Apa pun, kita tak akan pernah tahu perancangan DIA. Yakinlah aturan-NYA adalah yang terbaik. DIA tak kejam.... =)



p/s : Belum bergelar isteri - rasanya lebih baik berlaku adil pada hati sendiri...

Khamis, 17 Mei 2012

.: K.E.S.A.B.A.R.A.N :.

"Hanya yang SABAR akan menemui jawapan..."
- Kamu -


SABAR. Mudah - tulis dan baca. Hakikat? Tak semudah melontarkan syarat dan peraturan yang diistilahkan sebagai 'kata-kata' biasa saja.

Senyum. Senyum dengan air mata. Terlalu selalu dan terlalu lama menghadam erti sabar. Penat. Jangan ditukul terus menerus. Bimbang nanti berkecai sebelum sempat jawapan diberikan.

Jika syarat kamu - SABAR, maka syarat saya - IKHLAS. Boleh macam tu? Menerima apa adanya. Boleh begitu?


Semakin letih. Letih untuk faham. Terlalu banyak 'tak apalah' yang dituturkan tiap-tiap kali sabar diuji. Terlalu banyak tolak ansur walau yang luka calar itu hati sendiri. Apa ya ertinya 'menghargai'?

Entah boleh atau tidak 'sabar' itu bertahan. Bimbang, satu hari nanti, hati jadi pejal. Dilontar tak pecah berderai, tapi melantun semula. Dan DIAM mengambil tempat.

Cuba dan terus cuba bertahan. Kerana rasa yang paling dalam itu selalu memaafkan.


p/s : Belajarlah...


Ahad, 15 April 2012

.: La Tahzan :.

"La takhaf la tahzan. Innallaha ma'ana..."
Janganlah kamu takut dan janganlah kamu bersedih hati. Sesungguhnya Allah bersama-sama kita...

Assalamualaikum w.b.t...

Salam senyum kawan-kawan... Hari yang manis mudah-mudahan untuk anda semua. Itu pembuka bicara di atas itu apa ya? Hehe...itu maknanya nak cakap supaya jangan sedih-sedih SELALU dan TERLALU. Hidup ini indah kawan-kawan. Sedih itu fitrah, tapi jangan berlama-lama dengan kesedihan.



"It's OK to cry when you are sad, BUT when the tears dry, it's time to be strong and move on..."


Sesungguhnya kesedihan adalah sesuatu yang memenatkan. Tak percaya? Sungguh...cubalah... Letih, letih, letih dan anda hanya akan berasa letih jika meladeni rasa sedih. Dulu-dulu saya pun suka dan teramat suka melayan rasa sedih. Tapi itu dululah. Sekarang pun adalah juga sikit-sikit... hehe... Satu perkara yang saya belajar daripada kesedihan,

~ PENAT ~


Penat dengan rasa sedih. Yang penat itu bukan saja tubuh, malah otak pun jadi letih. Maka, dalam keadaan itu apa rasional yang boleh anda fikir? Apa jalan terbaik yang anda boleh putuskan? Tidak akan ada jawapan melainkan yang negatif kebanyakkannya. Bila terlalu melayan rasa sedih, kita akan selalu rasa diri tak beruntung, hati disakiti, diri tak dihargai, dunia tak adil dan segala macam perasaan negatif datang menghampir. Sudahnya, menangislah kau wahai kawan-kawan... Menangis tak berhenti. Silap gaya boleh ganti Kassim Selamat. Adesss... 

Cukup-cukuplah kawan. Rasa sedih tak akan bawa kita ke mana. Saya sudah lalui semua tu, dan ramai orang juga melalui perkara yang sama. Dan akhirnya kita akan tahu bahawa kita sedang melakukan satu perkara yang kurang cerdik iaitu BERSEDIH TANPA PENGHUJUNG. Tambah rugi jika yang kita sedihkan itu adalah hal-hal tentang hati dan perasaan kasih, tentang perkara yang remeh temeh. Lebih malang lagi jika orang yang membuatkan kita sedih itu tak hairan langsung dengan kesedihan kita. Habis sudah airmata untuk perkara yang sia-sia. Berbaloikah?

Sudah-sudahlah kawan. Biar yang berlalu itu kekal statusnya sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Usah kita tangis-tangiskan terus. Bangkit dan bina semula kekuatan. Kekuatan bukanlah sesuattu yang mudah untuk dibina, tapi tak susah juga untuk meruntuh. Maka, bila kekuatan itu kita miliki, tetaplah dengannya. Jangan tidak-tidak. Harus kukuh memegang kekuatan. Jangan sampai terlepas lagi. Nanti terbang entah ke mana, menangis pula lagi. Simpanlah airmata untuk menangisi sesuatu yang lebih bermakna, yang memberi kita pahala berganda-ganda. 


Moh la kawan-kawan. Kita ukir senyum semanis madu, secantik bunga yang mekar kembang. Usah ditangisi yang sudah berlalu. Masa bukan boleh berpatah balik. Tiada mungkin untuk terjadi putaran kembali untuk membetulkan mana-mana yang tidak betul di masa lalu. Yang perlu kita betulkan adalah pada masa-masa yang seterusnya. Jangan biarkan kita mengalirkan airmata untuk perkara yang sama pada masa yang akan datang. Itu namanya TIDAK MAHU MENGAMBIL PENGAJARAN.

Kawan-kawan, belajarlah mengubat hati sendiri. Serahkan segalanya kepada Pemilik Segala Rasa - DIA. Sesungguhnya Dia mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Jika telah ditetapkan sesuatu itu untuk kita, maka tidak ada siapapun yang dapat menghalang kita untuk memilikinya. Namun, jika sesuatu itu telah Dia putuskan bukan kita pemiliknya, maka tidak juga dapat kita miliki walau ianya sudah dalam genggaman. Syukurlah tiap segala yang ditakdirkan untuk kita. Dia sebaik-baik Penentu Ketetapan. Jangan kita bertanya, 

"Kenapa semua ini berlaku?"

Tersenyumlah kawan-kawan setiap kali diuji kerana ujian itu datangnya bersama hikmah tersembunyi. Boleh untuk menangis, membuang rasa. Dan bila airmata itu kering, bangkitlah untuk membenarkan rasa bahagia menghuni di hati. 

"Jika kita tak dapat apa yang kita suka, maka belajarlah menyukai apa yang kita dapat... Sesungguhnya Allah lebih tahu segala..."


Terus dengan kesedihan itu adalah sesuatu yang memenatkan. Percayalah!




Khamis, 15 Mac 2012

.: Pavlova - Resepi ikut suka :.

Assalamualaikum kawan-kawan...
OK...hari ni kita buka kuliah memasak secara online. Resepi kali ni namanya PAVLOVA IKUT SUKA... Dinamakan sedemikian rupa kerana bahan dan cara pembuatannya adalah tidak mengikut spesifikasi tertentu tetapi ikut suka hati je. Yang penting rasa dia memang best dan cair di dalam mulut. Rasa syahdu dan terharu jek bila makan. hihihi... Perasan sudaaa...


OK! Mula sekarang!


Bahan-bahan :
4 biji putih telur (pastikan TIADA sikit pun kuning telur yang termasuk dan pastikan tiada setitik air pun dalam bekas itu)
Gula kastor / gula icing secawan (nak lagi manis, tambah le banyak mana pun ye. Ni pun dah manis dah)
Esen vanila sesudu (jangan terlupa letak sebab nanti bau hanyir ye pavlova anda)
Tepung jagung 2 sudu
Whipping cream (beli kat kedai bahan-bahan kek)
Buah-buahan hiasan (selalunya buah-buah yang macam macam stroberi, kiwi, anggur hitam, mangga atau apa saja...ikut suka anda la. Asalkan dia nampak cantik di situ. hehe)


Cara-cara nak buat :
  1. Mula-mula, pukul putih telur ngan gula sampai kembang sikit. Pakailah mesin pemutar. Tapi boleh je guna hand whisk cuma penat la sikit kan.
  2. Lepas tu, masukkan esen vanila dan tepung jagung. Pukul lagi laju sampai kembang semangkuk. Sampai putih gebu dan terasa ringan. Masa ni kita akan nampak tanduk-tanduk ajaib keluar bila kita kaut dengan senduk adunan tu. Hehe
  3. Kemudian, alas dulang dengan kertas minyak. Kertas minyak ni boleh beli kat kedai kek. Color putih. Then, bolehlah kaut adunan tu dan letak atas dulang yang dah beralas tu. Bentukkan dia membukit macam hemisfera gitu. Tapi tak kisah pun nak wat gaya mana pun. Ikut keselesaan & suka hati masing-masing. Hihi...eh kawan-kawan, jangan bimbang ye. Adunan ni tak melimpah ruah macam adunan kek. Dia memang selonggok jek kat situ. Hehe..
  4. Lepas dah letak dalam dulang tu, bakar la ia di dalam oven sampai ia kelihatan light brown. Jangan sampai legam sudaa la kan. Hehe... Lepas nampak dah masak tu, tutup suis oven dan biarkan je pavlova tu di dalam oven supaya dia terus masak dengan saki baki kepanasan oven tersebut. Sambil-sambil tu, pergilah masukkan mangkuk pemutar ke dalam peti ais sejuk beku tu seketika sebab kita nak guna untuk putar whip cream pulak.
  5. Untuk whip cream pulak, curah sikit whip cream tu dalam mangkuk pemutar yang kita dah sejukkan tu. Sikit je ikut banyak mana kita nak letak atas pavlova kita. Pastu letak esen vanila sesudu. Kemudian putar sampai dia gebu dan harum. hihihi...
  6. Lepas tu letak whipe cream tu atas pavlova yang dah sejuk. Tabur buah-buahan ajaib di atasnya. Pastu bolehlah nak meleleh air liur tengok pavlova yang cantik dan ayu di situ. hihi... Eh kawan-kawan, pavlova ni makan sejuk-sejuk lagi best tau. Jadi, bolehlah kalau nak masuk dalam peti ais dulu. Tapi kalau dah rasa nak ngap jek pun boleyy... hihi...

Taraaaa!!! Inilah dia PAVLOVA IKUT SUKA daripada Cikgu Misz... Selamat tengok kawan-kawan!



p/s : Buat apa saja...harus dengan penuh kasih sayang. Pasti akan menjadi... Dengan izin DIA... Selamat mencuba!

Ahad, 12 Februari 2012

.: Baik Buruk :.

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang..."
[ Al-Hujurat : 12 ]

Assalamualaikum kawan-kawan...
Selamat senyum di hari yang indah. Sama ada lara atau suka, senyum sajalah... Kerana senyuman itu yang paling cantik! (^_~)v

Baik dan buruk. Dua kata berbeza, dua makna yang sama sekali tak serupa. Tapi adakala bergandingan keduanya. Macam kakilah juga. Melangkah tak sama, tapi ke mana-mana tetap bersama. Maknanya apa? Fikirlah sendiri...

Manusia dan penilaian. Itu juga satu lagi hal yang selalu ada bersama. Tiap saat, walau kita tak kata, tapi hakikatnya kita menilai. Nama pun manusia kan? Jadi jangan pernah menyangka kita ini baik segala. Bukan ada manusia yang sempurna. Ingat itu selalu.

Baik, buruk, manusia dan penilaian. Hidup - adalah apa yang kita pilih untuk ada di dalamnya. Ada saat-saatnya kita melihat buruk dan baik dalam satu masa. Itu bukan berada dalam senarai jangkaan kan? Tapi itulah yang Dia beri untuk kita buat penilian. Menilai dari sudut manapun, itu adalah apa yang kita pilih untuk ada di dalamnya. Baik buruk itu penilaian. Menerima itu adalah pilihan. Dan dalam keadaan tertentu - tiada syarat bahawa pilihan itu mesti salah satu, tapi boleh keduanya. Baik dan buruk. Yang penting, kita faham dengan jelas apa maknanya 'menerima'. Pulang pada Dia - kita pasti yakin bahawa manusia bukanlah sempurna. Cuma - jaga hati, jaga kata. Setiap satunya berbalas. Jika tidak di dunia, pasti di Sana. 

Selamat senyum kawan-kawan!


p/s : Manusia dan penilaian...