Ahad, 27 Disember 2009

Minggu Penulis Remaja 2009

"Di jalan Allah, ukhwah ini bukan milikku dan bukan jua milikmu. Ukhwah ini adalah perancangan Allah yang mengetahui segala rahsia. Kerana Dia-lah aku mengenalimu dan kerana Dia juga telah menetapkan kita mengukir seribu kenangan bersama. Ukhwah ini sudah pasti terisi dengan KASIH SAYANG, moga persaudaraan ini berkekalan untuk selamanya. Jagalah Allah, maka Dia akan menjagamu. Ingatlah Dia, maka Dia akan ingat padamu. Teruskan perjuanganmu dalam mencari erti diri dan mengenal makna kehidupan... -Saqef Baif-"

Ini sebuah kisah. Seorang mantan kembali mengenang zaman-zaman dia mengutip ilmu penulisan setahun yang sudah. Kembali bukan sebagai guru tapi sebagai pembantu dan mencedok sikit-sikit lagi ilmu...

19-25 Disember 2009, Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson

~ Ceritera AKU dan MEREKA ~

Ini Adilah dan Athirah... Seusia keduanya... Sangat kelakar dan menghibur... 'Backup singer' bila saya nyanyi lagu 'Sayang Kinabalu' sambil menari ala-ala tarian sumazau dalam apartment kami. Rindu nak dengar Adila baca doa makan... Rindu nak tengok Athirah tidur atas sofa (konon-konon nak cari ilham dia kata...hahahaha)

Dan ini seorang lagi teman serumah kami.. Hidayu namanya... Kelang kelibut sikit dia neh.. Bercakap laju amat... Hahaha... Ayu...nak pinjam broadband...hehehehe.. Ketiga-tiga adik ni sangat best! Sangat rindukan kalian... ='(


~ Antara lain ~

Pok Leh dan Kak Zeti...Terima kasih Kak Zeti yang telah memberi peluang untuk saya yang sedikit ilmu ni...

Sempat bergambar sebelum dibawa melawat DBP...


Rindu kamu semua...


~ Dan Berakhir ~

Yang berakhir hanyalah yang seminggu itu. Namun, ukhwah ini takkan pernah berakhir...

p/s : Di sana ada bintang yang perlu kita kutip dan pancarkan cahayanya agar terang taman kehidupan...

Selasa, 15 Disember 2009

Hidup ini bagaimana sebenarnya?

Seminggu dua ni otak saya berpusing-pusing. Sedang menimbang-nimbang untuk membuat keputusan penting dalam hidup. Kadang-kadang berfikir macam ni, kadang-kadang berfikir macam tu. Berselirat sana sini. Adakala terasa mahu pasrah dan berserah saja. Diam dan tenang-tenang sendiri... Saya pening la... Bagaimana perjalanan hidup ini sebenarnya?

Berkira-kira untuk melangkah dalam kabus hidup yang belum pasti bila akan reda...


Tanah hati yang tertimpa hujan keliru, hanya mampu berpayungkan doa dan harapan. Moga diberikan kekuatan untuk memilih yang terbaik. Sama ada berteduh di bawah sayap rasa atau biarkan saja ia berjalan mengikut takdir...


Alangkah bahagianya jika mentari bahagia memutuskan tidak mahu menyembunyikan diri lagi... Tapi itu mustahil kerana pekat malam sudah diamanahkan untuk kembali menyapa... Saban hari...


Apa yang ada di hujung jalan? Ya Allah, mohon petunjuk-Mu untuk membuat keputusan yang terbaik. Ujian yang sedikit cuma, tapi alangkah lemahnya diri untuk menyingkap hikmah di sebaliknya...


...KELIRU...


Yang Maha Mengetahui segalanya,
izinkan aku mencuit sedikit tenang
dalam gelora ujian-MU
agar nanti aku bisa memilih
dengan petunjuk dan redha-Mu.

Pada-Mu Ya Rabb,
aku mengikat tali keredhaan
agar nanti bisa aku bergantungan
saat runtuhnya tanah pengharapan...

p/s : Bagaimana nanti...

Selasa, 24 November 2009

Terima Kasih Papan Kekunci

Hiburan tiada salahnya, kerna hiburan itu indah. Asalkan bijak memilihnya, kita tak lalai dan tak leka...


Entri kali ini saya selitkan dengan rasa menyampah, bosan dan tak tahu nak cakap apa. Huhuhuhu... Ada mata; tengok, ada akal; fikir, ada hati; nilai.Terima kasih papan kekunci yang sentiasa bersedia untuk dieksploitasi oleh aku dalam mengimejkan perasaan aku yang entah apa-apa ni...


Saya tak suka tengok TV. Jangan tanya saya tentang Akademik Fantasia sebab dari musim pertama sampai musim ke berapa tah ni, saya tak ambil peduli pun (kecuali masa kawan sekolah saya, Haziq masuk final dulu-dulu tu. Itupun, masa final je la yang saya tengok.) Saya tak kenal pun siapa graduan AF kecuali yang glamor dan selalu disebut oleh kawan-kawan saya. Tak kisahlah kalau kamu nak kata saya ni ‘lambat’ pun. Jangan tanya saya, “Tahu tak artis ni dengan artis ni dah bercerai...Tahu tak si dia tu couple ngan artis tu...” Uh...saya akan bagi jawapan, “TAK TAHU!”. Mereka tak ada kepentingan pun dalam hidup saya. Jadi, perlu ke saya tahu?


Sekarang sesi membebel...

Situasi 1 : Katanya, “Beramal untuk kebajikan...”

Saya tak faham kenapa orang Melayu mentalitinya di akhir zaman ini berlumut dengan hiburan keterlaluan? Berkarat dengan perkara yang bukan-bukan dan langsung tak memberi apa-apa maslahat. Ada siapa-siapa boleh tolong jelaskan pada saya? Di mana agaknya menghilang rasa sopan dan segan yang sekian lama menjadi ‘trade mark’ orang kita? Rancangan di TV entah apa-apa. Bukannya bertujuan untuk membina pengetahuan ke arah menginsafi diri sebagai hamba Tuhan, tapi lebih kepada membinasakan nilai diri dan kemoralan insan. Menari tekinja-kinja depan orang ramai, kemudian yang di luar TV sibuk tekan punat telefon; kononnya nak mengundi pasangan pujaan. Dan bila undian tak capai tahap, terkeluarlah pula kan... Masa nak keluar boleh pula cakap macam ni sambil nangis-nangis, “Sampai di sini sajalah perjuangan kami. Terima kasih kepada yang sudi mengundi. Inilah saja yang dapat kami kumpul untuk didermakan kepada tabung kebajikan.” Uhhhh....menari terkinja-kinja tanpa rasa segan atas tiket BERAMAL untuk kebajikan??? Perjuangankah itu??? Saudara...konsep beramal di sisi Tuhan bukan begitu caranya. WooOOohhhooooOOO... Misraini kamu ni banyak sangat ke menderma dan beramal untuk kebajikan???

Situasi 2 : Katanya, “Mak...adik takut nak pergi tandas...”

Hari-hari disajikan dengan cerita hantu yang konon-konon takutlah kan... Buka siaran tu, cerita hantu. Buka siaran ni, hantu juga. Tengok banner kat luar cinema tu, hantu juga. Tengok iklan kat surat khabar, hantu lagi. Hai...banyak benar hantu puaka kat Malaysia ni yek? Siapa yang berlakon? Orang Melayu juga. Yang datang tengok? Orang Melayu la kawan... Takkanlah orang-orang yang sebangsa dengan auntie sebelah rumah ni pula yang pergi tengok kan... Kalau ada pun, berapa kerat la sangat. Lebih dahsyat bila cerita tu dikategorikan sebagai TONTONAN UMUM. Seluruh lapisan masyarakat boleh tengok. Sudahnya, budak-budak kecik nak pergi tandas dalam rumah pun suruh mak temankan. Adoooiiiiaaaaiii.. Nak buat lagu mana... Rancangan-rancangan yang membina rohani macam Al-Hidayah tu; time hari Jumaat je ada. Kalau ada tiap masa pun, kat Astro Oasis jek. Tu bagi yang ada Astro la. Bagi yang tak ada? Hooohooo...tengoklah cerita mengarut yang ada bidadari dan pari-pari yang punya kuasa menyelamatkan nyawa kononnya. Cerita-cerita macam Jejak Rasul tu pula, time bulan puasa je dapat kita tengok. Jadi bulan-bulan biasa ni, tengoklah cerita-cerita khayalan mengarut tu. Paling kurang, boleh belajar macam mana nak ‘menurun’ dan bercakap dengan hantu. Bukan ke itu kepakaran orang Melayu????

Situasi 3 : Katanya, “Memesongkan akidah...”

Sambut Tahun Baru, sambut Merdeka, sambut ini sambut itu...semuanya guna pakai konsert jek kat Malaysia ni. Barulah ‘grand’ kan??? Seronok tu tengok artis cun-cun macho-macho menyanyi bagai nak terkeluar anak tekak kat atas pentas tu. Lepas tu kita duduk ramai-ramai, campur lelaki perempuan. Tengah orang terkinja-kinja sambil jerit-jerit nama artis pujaan, mana ada orang nak perasaan kita buat kerja tak senonoh kan kan kan??? Pegang sana, pegang sini; nak malu buat apa, semua orang pun sama je kan? Kalau ada orang nampak pun, berani ke dia tegur??? Woooohhhoooo...aku pun tak berani nak tegur. Silap gaya, aku makan penampar! Weh, ko cakap-cakap ni, ko pernah pergi konsert ke Misraini? Huhuhu...tak payah pergi. Tengok kat TV pun boleeeehhhh... SIARAN LANGSUNG tu! Siapa tu yang melalak-lalak atas pentas??? Orang Melayu la tu. Yang terjerit-jerit, berpeluk-peluk kat bawah tu??? Melayu jugalah sayang oiiii... Aik??? Dapat pula lesen yek bila nak buat konsert-konsert ni? Ustaz kita tu bagi ceramah agama je pon, nak ajak orang jadi baik dan kembali kepada hati berTuhan, tapi sia-sia je kena tahan semalaman. Alasannya, tak ada lesen, tak ada tauliah... Ada pula yang kata, ustaz kita nak sebar fahaman yang boleh terpesong akidah. Ye ke? Tak tahu pula saya sebab saya tak pergi pon ceramah tu. Jadi, tak boleh nak kata la kan. Yang peliknya, orang yang sama-sama tak pergi, macam sedap jek bercerita itu ini. Macam la dia dok depan sekali time ustaz tu bagi ceramah kan... Walhal, ustaz tu pon dia tak pernah jumpa agaknya... Manusia kan??? Tapi kan, yang konsert tu bukan ke terang-terangan memang budaya Barat yang menjahanamkan? Bukan je memesongkan akidah, membazir duit, merosakkan budaya, meruntuhkan nilai moral dan macam-macam ‘me’ lagilah! Tapi nak buat macam mana kan, tetamu VVIP orang-orang kita juga. Huhuhu... Woooowoooooo...isu sensitif ni... Misraini ni suka-suka hati je nak tulis...

Situasi 4 : Katanya, “Anak dara tuan...”

Semalam anak buah saya, si kakak tanya, “Cikya tak tengok Bintang Kecil ke?” . Saya jawab, “Ada heh? Tak tengok pun...” Dia cakap lagi, “Rugi je Cikya kan, kalau menang pun bukan dapat jadi artis,” Mak aiii... Anak sedara saya pun dah terpengaruh nampaknya dengan propaganda TV. Tiba-tiba si adik dia menjawab, “Budak kecik jadi penyanyi? Ko dah tak betul heh kak? Angah tak tau la nak cakap”. Hahahahaha...saya gelak besar! Si adik ni semacam pemikir yang selalu mengenangkan kejatuhan orang Melayu di akhir zaman! Umur dia baru nak masuk 11 tahun je pun... Tapi inilah kenyataannya. Anak-anak dara kita cun-cun belaka. Tapi kecil-kecil lagi sudah diajar pakai baju seperti tak cukup kain. Kononnya, biar nampak cute. Cute la sangat... Dah diajar beraksi depan kamera, menyanyi gelek-gelek, lirik satu pun tak salah. Huhuhu...kalau mengaji Quran tu, surah-surah lazim dan pendek entah hafal entah tidak. Anak siapa tu? Laaa...tentulah saudara mara sebangsa dan seagama dengan kita! Ada pula anak dara bergelar artis tu, bila ditemuramah dalam satu rancangan TV, siap boleh kata, “Saya tak pandai mengemas dan tak pandai basuh pinggan,” Waaaaa...dahsyat la anak dara zaman sekarang ni. Tak malu tu nak mengaku tabiat diri sendiri kat depan orang ramai. Kalau tak pandai masak tu ok la lagi nak mengaku sebab memang ramai pun yang tak pandai masak. Saya ni pun bukanlah expert bab-bab masak. Tapi kalau dah sampai tak pandai basuh pinggan tu pun nak beritahu orang, haiii...di mana ya letaknya harga diri dan nilai budi seorang dara Melayu? Apa dia fikir itu satu perkara yang melucukan ke? Apa dia ingat macam tu cute sangat ke? Satu kes lagi...cuba kita tengok filem-filem yang melibatkan anak dara kita... Huh! Dahsyat gila! Mujur tak gila je... Kes minah rempit, bohsia, penagih, GRO, perempuan simpanan, diangkat menjadi tema filem. Pakaian fulamak! Tunduk sikit nampak tang belakang. Melangut sikit, nampak tang atas. Benda yang patut ditunjuk kat suami je, sekarang satu Malaysia pun boleh tengok. Takpe la...kulit dia cantik, badan dia cun... Dipeluk orang tu, dipeluk orang ni, boleh belaka. Nak buat macam mana kan, director suruh... Waaaaaaaaa....yang Tuhan suruh kau tak nak buat pulak??? Tolonglah fikir baik-baik cucu cicit Tun Teja oiii...tak rasa ke diri dan kecantikan korang tu sedang dipergunakan? Tak tahu ke yang awak buat tu akan menimbulkan persepsi negatif orang ramai terhadap anak dara Melayu? Oii...cik Misraini! Macamlah kamu ni bagus sangat...

Situai 5 : Katanya, “Syukur alhamdulillah... rezeki daripada Allah...”

Dalam setahun, berapa banyak anugerah-anugerah industri hiburan ni diadakan? Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Era, Anugerah Bintang Popular dan macam-macam anugerah lagi. Wooooo...banyak tu. Anugerah sastera pun tak banyak macam tu. Yang masuk dalam pencalonan lazimnya siapa ya? Alah...kamu pun tahu kan siapa. Artis-artis sebangsa dengan kita la... Bila dapat anugerah, naik atas pentas dengan pakaian yang tah apa-apa. Tapi nak buat macam mana kan... Baju sponsor...huhuhuhu... Lepas tu cakap macam ni, “Syukur ALHAMDULILLAH, semua ni rezeki daripada Allah,”. Waaawaaaaawaaaaa... Kamu mengucapkan syukur dan pujian kepada Allah setelah kamu melakukan perkara yang dilarangnya? Hooooohoooo... itu urusan kamu dengan Tuhan. Tapi di mana ya alim ulama’ kita? Tak pula berkata apa-apa tentang isu ni. Ohooooo...mana boleh suka-suka nak kata. Ini kan majlis-majlis besar. Antara pendapatan utama Negara. Jadi, lebih baik diam kan... Huh!

Situasi 6 : Katanya, “Nak sedarkan masyarakat...”

Filem-filem merapu, kes-kes rempit, bohsia, pergaluan bebas, seks luar nikah meletup-letup di pawagam. Aksi-aksi anak-anak kita yang berlakon dalam filem tu, Masya-Allah... Tak reti la nak kata. Paling malang bila ia bukan untuk tontonan orang-orang dewasa je. Budak-budak kecil pun boleh tumpang sekaki. Katanya, “Filem ni nak sedarkan masyarakat supaya tak buat benda-benda tak senonoh ni,”. Sayang oiii...budak kecil yang tengok tu apa yang mereka tahu? Kalau mak ayah dapat pantau pun, berapa ramai sangat ibu bapa yang explain balik kat anak diorang tentang filem yang diorang tengok? Boleh ke budak-budak kecil ni menilai apa yang tersirat di sebalik mesej yang nak disampaikan? Pemikiran mereka tak sampai tahap tu la kawan... Mereka buat apa yang mereka nampak. Kalau dia nampak, orang berpeluk-peluk dalam filem; tu yang keluar berita budak sekolah darjah 2 buat kerja tak senonoh bawah meja guru kat dalam kelas. Kalau dia nampak, orang bergaduh-gaduh dalam filem; tu yang jadi kes murid pukul cikgu. Haiii...bila dah jadi macam ni, siapa salah? Ada tak orang nak kata, “Ni semua sebab filem-filem yang bukan-bukan tu, anak saya belajar semua benda ni dari filem,”. So, siapa yang dipersalahkan? Cikgu juga... Kononnya cikgu tak terapkan nilai-nilai murni dalam P & P. Cikgu tak pandai didik anak murid. Cikgu tak pandai mengajar. Cikgu makan gaji je. Waaaaaaaa...payah la macam ni. Kalau anak dapat 5A UPSR, ramai ke mak ayah yang berterima kasih pada cikgu? Selalunya akan cakap macam ni, “Anak saya ni memang rajin belajar. Saya hantar dia pergi tuisyen. Selalu belajar ikut jadual waktu. Pemakanan dia pun saya jaga...” Huhuhu...hakikat kan... Opppsss! Stop!

Situasi 7 : Banyak sangat kamu membebel ni...

Ohooo...dah banyak sangat kamu merapu ni Misraini. Kamu ni hanya pandai mendeskripsikan ketidaksukaan kamu. Tapi kamu gagal bertindak secara konkrit untuk mengubahnya.. Oh..ampun... Saya orang di bawah-bawah saja. Ada orang nak dengar ke cakap-cakap saya? Kalau saya cakap dengan kawan-kawan yang banyaknya tak sealiran dengan saya, ada pula yang akan kata saya ni terlalu konservatif. Tambah 1 lagi, ‘Ko tu macamlah baik sangat. Kecoh je lebih!’. Jadi, saya diam-diam saja. Nak umumkan kat berita TV3? Uhh..macam la boleh kan... Nak lontarkan kepada yang berkuasa? Ada ke yang nak dengar? Nama saja demokrasi...huhuhu... Oh...mengutuk lagi ya, Misraini! Tolong berhenti! Ok...saya berhenti di sini... Terima kasih papan kekunci!

Saya tuliskan ini, untuk saya baiki kelemahan saya, untuk saya melihat dengan intuisi, untuk saya tidak melakukan apa yang saya sendiri tak suka orang-orang sebangsa saya buat, untuk anda yang nak membaca dan memikir. Nak kutuk saya? Kutuklah. Nak maki saya? Silakan. Saya tak kisah pun, sebab saya tahu pemikiran kita semua berbeda. Saya menginterpretasikan bangsa saya di akhir zaman ini mengikut perspektif saya dari apa yang saya lihat dan fikir. Walaupun saya tak berpeluang bersuara lantang di luar sana, saya masih bersyukur. Paling tidak, saya masih boleh mempergunakan medium maya ini sebaiknya untuk melontarkan pemikiran saya, supaya saya dan anda yang membaca sedar hakikat yang tak sedap untuk ditelan. Dan ini pemikiran saya, saya kongsikan kepada anda yang mahukan anak Melayu kembali kepada semangat Tuah dan Teja, yang mahu jiwa anak Islam kembali kepada landasan Al-Quran dan Sunnah. Malaysia ini tanah orang Melayu kan? Malaysia ini Negara Islam kan?

p/s : Minta maaf. Penulisan yang tak berapa sedap dibaca barangkali. Terlalu beremosi mungkin...

Jumaat, 20 November 2009

Di Taman Hati Seorang Bakal Guru...


Ini rasa seorang manusia
yang masih hijau berjasa

dalam dunia didikan.
Hanya sebutir cuma
benih itu kusemai,
hari ini mengejut harum
di segenap sudut taman hati.

Dari jauh angin khabar menderu
menyapa kuntum-kuntum bunga
di taman hati.

Mekar sudah...

Betapa jernih keharuan
bertitik-titik luruhnya
membasahi tanah pengharapan.
Sungguh!
Inikah rasa bila bunga didik
menghadiahkan harum kejayaan?

Ingatan yang
indah dan manis!



"Cikgu, saya Zuraidah. Murid SK Bebar. Saya dapat 4A1B UPSR." Seorang murid yang pernah saya elus hatinya satu ketika dulu. Tidak lama. Seketika cuma. Hanya semalaman memberi kata semangat dan rangsangan. Sekadar melunaskan tanggungjawab sebagai guru pelatih yang terlibat dalam khidmat komuniti di Sekolah Kebangsaan Bebar tidak lama dulu. Namun, hari ini, ingatan ikhlas dengan membawa berita kejayaan, sungguh mengharukan! Betapa yang sekejap itu, sudah menjadi kejap mengikat ingatan mereka terhadap seorang bakal guru yang dianggap memaknakan kehidupan mereka. Terima kasih Zuraidah! Terima kasih Jenifer! Terima kasih Muhammad! Kerana masih ingat kepada seorang guru yang tak banyak memberi ini! Moga kamu semua berjaya dan bahagia dunia dan akhirat. Inikah rasa manis dan indah itu?

p/s : Tuhan...rahmati dan redhailah hamba-Mu ini. Moga suatu hari nanti, amanah itu mampu kupikul dengan tenang dan lapang. Amin...


Rabu, 18 November 2009

Sangat Sakit... Redha dan Syukur...

Rasa yang amat sakit. Ya...sakit! Tapi sakit itu indah dan manis. Alhamdulillah Ya Allah... Telah Kau tunjukkan kepadaku kebenaran yang tak terlihat (atau aku sebenarnya yang sengaja tidak mahu melihat? Ampun Ya Allah...)


La tahzan innallaha ma'ana...


Sewajarnya menerima dengan redha... Kerana sayangkan hamba-Nya ini, telah ditunjukkan kepadaku sejelas-jelasnya... Airmata laju, namun harus bersyukur! Kerana diselamatkan-Nya sebelum bertambah sakit... Alhamdulillah... Syukran Ya Allah...

p/s: Dalam hidup ini, tak semua yang kita mahukan akan kita dapat. Tak semua yang kita sayang, akan kita miliki. Yang terbaik itu hanya Allah yang tahu... Tenang-tenang saja...

Isnin, 16 November 2009

Hanya Satu Perkataan... SEMANGAT!

"Samurai sejati kebiasaannya akan menelah kekalahan tetapi pada akhirnya dia menang!"

Hidup ini bukan selalunya kita berada di atas. Kadang-kadang, tanpa kita sangka, kita sudah berada di bawah. Hidup ini bukan hanya bahagia semata-mata, kadang-kadang perlu juga ditimpa sedih supaya kita sedar yang kita perlu bersyukur. Namun, kesedihan itu jangan pula kita turutkan... Insaf...redha...syukur... Kerana itu adalah pemanis kehidupan kita...


Jika kita tersadung ketika melangkah, cepat-cepat bangun. Jangan sampai tersungkur pula...


Apa yang pasti, jangan pernah patah semangat. Cikgu saya pernah kata begini, "Samurai sejati kebiasaannya akan menelah kekalahan tetapi pada akhirnya dia menang!" Hebat kan? =) Saya mahukan semangat samurai tu...

p/s : Kadang-kadang kita seperti apa ya? Kita sendiri berfikir...

Jumaat, 13 November 2009

Kadang-kadang Kita Terlepas Pandang Kelemahan Diri Kita Sendiri...

Tadi siang : Rasa tak sedap hati. Bimbang rasa menyampah bertukar jadi benci. Sedang beremosi tanpa kesedaran tentang kelemahan diri sendiri... (Ampun Ya Tuhan...Maaf Ya Sahabat...)

Malam ini : Tenang sudah. Ada yang membantu menyingkap kelemahan diri. Membantu menyedarkan diri supaya jangan lihat kelemahan orang lain sebagai sesuatu yang mendominasi akal. Mengetuk kelupaan agar cepat-cepat ingat tentang kesyukuran dan balasan Tuhan. Mengingatkan kembali bahawa diri sendiri punyai banyak kelemahan yang perlu diperbetulkan. (Terlihat sudah di mana silap diri. Syukran ya ukhti kerana sering mengingat dan menyedarkan...)

"Tingkatkan sabar 2 pd 1 tahap lg. Masa 2, sy menyampah n marah kat abah sy, sy rs abah sy x fhm apa yg sy rs... Tp bila sy dah besar ni n sy cuba ikut saranan abah sy 2, sy rs lebih kuat. Baru sy tfikir n teringat, rupa-rupanya stiap org ada tahap ksabaran berbeza n sy x nk tahap ksabaran sy d peringkat bwh. Kita tgok sifat nabi kita yg kuat kesabarannya, sampai org sakiti dia tiap2 hari pun dia still sabar n bila org tu sakit nabi lawat dia. Apa nabi dpt? Dah dpt seorang pnnganut agama Islam yg baru dgn ksabaran nabi 2..."

"Adakalanya kita perlu menangis agr kita tahu hdup ini bkn skadar ketawa. Dan adakalanya kita perlu ketawa agar kita tahu mahalnya nilai airmata... Brsyukur pd org yg menyakitimu krn dia yg menabahkan kamu, bsyukur pd org yg x mengendahkan kamu krn dia memupuk dirimu berdikari, bsyukur pd org yg menjatuhkan kamu krn dia org yg memperhebatkan kemampuan kamu, bsyukur pd org yg menyeksamu krn dia yg menguji kesabaran dan ketabahan kamu..."

"Sahabat, sbg seorang pjuang dirimu hrs kental dr segi rohani dan jasmani...mental dan fizikalmu hrus bsedia utk mghadapi sbarang ujian yg mndatang. Jgn ssekali dirimu mmpersoalkan qada' dan qadar yg Allah timpakn kpdmu sma ada melalui Penciptamu atau mewasilahkan kpd yg lain utk mnguji dirimu. Utk mnguji sejauh mana dirimu utk saggup mghadapi ujian tsbut...kdg2 ujian yg dtg menyedarkan kita tentang-NYA, tp kdg2 ujian yg dtg dlm bentuk ksenangan yg kita sgka suatu knikmatan akn mnyebabkn dirimu tjerumus dlm kelalaian. Bhati2lah duhai ukhti syg dl mnduga ksusahan dn ksenangan yg melingkari khidupanmu. Dan itulh gunanya apabila kmu bsma dgn org2 yg briman utk mengingatkanmu... Redhaknlah ujian Tuhan yg mnimpa dirimu krn kmu akn mrasai kmanisan slps kpahitan dlm mnghadapinya... Yakinlah dgn janji Allah utk hambanya..."

"...tgok dlm 2 msj tu, hayati pgajaran msj 2... Dia ckp, kita spatutnya bsyukur ngan org yg mnyakiti ht kita sbb dia menabahkan kita. Makin mis merapatkn bhtera diri mis dgn Pencipta, DIA akn uji mis ni, DIA nk tgok ciptaan DIA 2 kuat x utk djaga dr dekat..."

"...1 lg...hablun minaAllah wahablun minannas... Kita rapat dgn Allah, Allah rapatkn kita dgn manusia... Slamat mncuba ye shbtku...tabahkn dirimu stabah2nya!! moga kita dpt saling kuat menguat...insyaallah..."

Syukran ya ukhti...sudah menyedarkan diri saya tentang kelemahan diri saya sendiri. Ya, SABAR... Jangan cepat marah dan panas hati Misraini! Lepas ni mesti lebih banyak diam walaupun tak suka...

p/s : Maaf kepada yang pernah saya sakiti hatinya sama ada secara sengaja atau tidak sengaja... ='(

Isnin, 2 November 2009

Tidak Kurang Tidak Pula Lebih Walau Sedetik...

"Katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu." (Al-Jumu'ah 62:8)

Innalillahi wainnalillahi raji'un... Maghrib tadi saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang pensyarah saya (En. Hairi Yahya) menyampaikan khabar bahawa bekas pensyarah Afzan, Tuan Haji Azmi Ismail telah kembali ke rahmatullah petang tadi setelah mendapat kemalangan di kebunnya.


Tergamam seketika. Seperti percaya dengan tidak percaya. Semalam... (klik sini untuk sambungan)

Tuan Haji Azmi Ismail...segala jasa dan bakti yang dicurahkan hanya Allah yang mampu membalasnya. Moga kesungguhan menyampaikan ilmu sepanjang bergelar murabbi diberkati.Bingkisan Al-Fatihah serta doa kami iringi buat Tuan sebagai bekalan di alam abadi... Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Amin...

p/s : Dalam tidak disangka-sangka... Janji pasti ditepati, jika ingin dicabut-NYA nyawa, maka tidak akan kurang dan tidak akan lebih walau sedetik. Itu janji-Nya... Bersama kita menginsafi diri yang nyata seorang hamba yang tak punya kuasa untuk menahan segala yang sudah diatur-Nya. Kita masih diberi peluang untuk bernafas bukan untuk merasa lega tetapi untuk memohon ampun dan taubat setelah memalit dosa semenjak diberi peluang menginjak dunia pinjaman-Nya... Ya Allah...di mana takah hamba-Mu ini? ='(

Rabu, 28 Oktober 2009

Gadis Idaman...

Saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang adik junior. Madah yang sangat terkesan di hati saya. Saya kongsikan bersama anda yang setia menapak ke taman saya khususnya teman muslimah...

- GADIS IDAMAN -

Gadis itu wajahnya berona NUR IMAN...


Mahkotanya dilitupi tanda KEHORMATAN...


Maruah diri dipagari dengan KESOPANAN...


Dialah puteri indah rupawan...


Tika gadis lain sibuk menghiasi diri, dia hiasi NUR ILAHI pada wajahnya...


Tika gadis lain sibuk mencari sang putera, dia selesa bersama CINTA-NYA...


Tika gadis lain sibuk bermadah pujangga, dia tekun dengan bait KATA TUHANNYA...


Tika gadis lain menangisi pemergian arjuna, dia tangisi kehinaan diri SEBAGAI HAMBA...


Gadis itu seperti MAWAR BERDURI, indah dipandang namun sukar dipegang...


Mulianya kerana ketaqwaan, cantiknya kerana keperibadian AKHLAK MULIA...


Kerana itulah dia dikatakan GADIS IDAMAN...


p/s : Terima kasih Norlida. Madah penuh kehalusan, memperingatkan kakakmu ini dalam mengatur langkah membentuk diri dalam meraih cinta-NYA...


Jumaat, 23 Oktober 2009

Ceritera Seni Siri 3 : Tamat Sudah...

21-23 Oktober...tarikh keramat (tidaklah keramat sangat sebenarnya...hehe). Tamat sudah Pameran dan Ujian Amali Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Pendidikan Seni Visual Semester 4. Segala usaha dan penat lelah serta keadaan terkejar-kejar demi menyudahkan kerja-kerja seni berakhir dengan ujian amali dan pameran dan dinilai oleh pensyarah dari IPGM Kampus Sultan Abdul Halim, Kedah iaitu Tuan Haji Jaafar bin Mahmud. Saya mengabadikan saat-saat yang dilalui sepanjang ujian amali berlangsung untuk tatapan anda...

Nampaknya sedang berusaha menganyam menggunakan segala yang ada...tangan, kaki...kasut??? Kawan-kawan saya kata, ni adalah kerja sambilan saya masa dah tua nanti... hahahaha...

Ini hasil akhir anyaman menggunakan daun mengkuang...nampak tak kemas...kawan saya kata, "tak apa...kita kan amatur..."


Gadis ini bersama karya arcanya, "The Eagle"...konon 'tough' sangatlah tu arca dia...hihihi


Ya...itu dia...sedang disoal selidik oleh penilai...


Aksi-aksi mereka yang kebosanan dan sedikit 'psiko' dengan ujian amali yang sedang berlangsung...hahahaha...

Tahniah dan Terima Kasih kepada :
  • Para pensyarah Seni saya : Encik Basir, Encik Shaiful, Encik Johan
  • Penilai luar : Tn Hj Jaafar bin Mahmud, IPGM Kampus Sultan Abdul Halim
  • Adik Indonrosni yang mengajar saya membuat anyaman
  • Jiran sebelah bilik : Dik Iffah & Dik Ella yang banyak membantu saya dalam menghasilkan arca
  • Roomate saya : Syazwina yang selalu berjaga malam ketika saya membuat kerja-kerja seni
  • Kawan-kawan saya : Pelatih unit PISMP PSV Semester 4
  • Semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam ujian amali ini
Jumpa anda pada pameran dan ujian amali yang akan datang...

p/s : Saya dan mereka...

Terima Kasih Kepada Anda...Anda...Dan Anda...

13-15 Oktober 2009...minggu paling sibuk, paling tertekan, paling serabut...Hahahaha... Nampaknya cuba menyelitkan unsur hiperbola ya di situ... (^^,)v

Apa yang berlaku pada tarikh tersebut???

Majlis Pelancaran Pusat Pedagogi Peribumi Kebangsaan, Konvokesyen KEDAP (graduan Kelas Dewasa untuk orang Asli) & Seminar Pedagogi Peribumi
(Saya menjadi ketua editor bagi penerbitan Buletin sepanjang program ini berlangsung)

Selain itu???

Kerja kursus yang perlu dihantar sebelum atau pada 15 Oktober:
  • Rancangan Pengajaran Harian Pendidikan Moral Tahun 3
  • Rancangan Pengajaran Tahunan Pendidikan Moral Tahun 3 (berkumpulan)
  • Esei ringkas berkaitan "Set Induksi" dalam P & P Pendidikan Moral (berkumpulan)
  • Brosur untuk ujian amali Pendidikan Seni Visual
  • Seni Dalam Pendidikan : Rancangan Pengajaran Harian dan huraian penerapan nilai KBKK
  • Teknologi Dalam Pendidikan : Powerpoint pembelajaran 60 minit
Maka, saya tersangat ingin berterima kasih kepada:

Adik-adik PPISMP Pemulihan (BM) Sem 3 yang sama-sama berpenat lelah untuk Buletin. Terima kasih kerana menjadi wartawan berjaya, editor yang berdedikasi, jurukamera yang pro ala2 jurukamera artis...hehehe...Dan terima kasih juga kerana sanggup berjaga dan bergelak tawa dengan Kak Misz. Terima kasih banyak-banyak!

Sahabatku yang agak sengal...hahahaha....Awang Alya Awang Ali... sangat berterima kasih kerana menjadi ilustrator yang terbaik, Abang Long kami yang sangat bertanggungjawab dan suka bikin orang gelak walaupun kami dalam keadaan 'tension'.

Sahabat sebelah meja di kelas...Wan Nur Hanisah A. Halim. Terima kasih kerana banyak membantu dalam menyudahkan kerja kursus berkumpulan. Terima kasih juga sebab dengan rela menadah telinga untuk mendengar cerita-cerita ku yang kadang-kadang mengarut! Haha...

Dan terima kasih kepada sahabatku Redza dan Faqhreel yang bersusah payah membelikan tiket cuti Deepavali. Terima kasih sahabat!

Terima kasih kepada anda...anda...dan anda....!!!

p/s : Saya memerlukan mereka untuk terus kuat dan ceria di IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan. Dan saya tidak perlukan Mereka untuk tidak merasa sedih dan memikirkan masa yang sudah terlepas.

Sabtu, 3 Oktober 2009

Ceritera Seni Siri 1 : Satu Kerugian Kerana Dapat Major Seni

"Ramai lecturer cakap, satu kerugian Kak Misz buat major Seni sebab Kak Misz berbakat dalam bidang bahasa. Sepatutnya Kak Misz buat major BM..."

Minggu depan Insya-Allah saya akan menghadapi hari-hari mendebarkan selaku guru pelatih Major Pendidikan Seni Visual (tapi taklah berdebar sangat sebenarnya...hahahaha). Seperti semester-semester yang sudah, kami akan menghadapi Minggu Pameran Dan Ujian Amali Pendidikan Seni di mana kami telah diberi beberapa tugasan untuk menghasilkan karya dan karya-karya tersebut akan dipamerkan dan sesi pembentangan akan berlangsung untuk penilaian. Lazimnya, penilai yang bertanggungjawab menilai karya-karya kami ialah pensyarah-pensyarah dari IPGM lain. Pada kali ini, penilai yang akan menilai hasil karya kami ialah Tn. Hj. Judin dari IPGM Kampus Perlis (betul kot nama ni...hehe..kalau salah, mohon maaf). Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar.

Tadi saya ke bilik adik junior selang beberapa bilik daripada bilik saya. Farah namanya. Pergi meminjam kamera untuk mengambil gambar proses penghasilan arca asemblaj saya. Kebetulan Farah juga pelatih Major Pendidikan Seni Visual seperti saya. Duduk sekejap mendengar luahan perasaan adik ini dan teman sebiliknya, Nor. Macam-macam yang diborakkan. Secara keseluruhannya tentulah berkisar dunia seni kami di Afzan ini. Tentang kerja-kerja seni, hari pameran dan ujian amali yang semakin hampir, dan bermacam-macam lagi.

Tapi pada siri ini, saya ingin mengulas tentang 1 perkara. Satu ayat yang terluncur daripada bibir Farah bikin otak saya ligat berpusing - "Ramai lecturer cakap, satu kerugian Kak Misz buat major Seni sebab Kak Misz berbakat dalam bidang bahasa. Sepatutnya Kak Misz buat major BM..." Hmm...sebenarnya saya dah lali dengar ayat ini. Dulu, agak terpengaruh juga dengan kata-kata ini. Terdetik juga untuk menukar major semasa tahun pertama pengajian. Namun, setelah difikir-fikirkan kembali, saya rasa apa yang telah ditakdirkan ini adalah yang terbaik untuk saya.

Ya...memang saya berminat dengan bidang bahasa. Namun, apabila saya melihat kembali kronologi pengajian saya sejak daripada kecil, sememangnya saya lebih terdedah dengan dunia Seni Visual. Sejak kecil saya banyak memasuki pertandingan mewarna dan melukis. Masuk tingkatan 4, saya memilih untuk mengikuti jurusan Sains Reka Cipta, juga berkaitan dengan seni. Semasa mendaftar subjek untuk peperiksaan SPM, saya menambah mata pelajaran Pendidikan Seni Visual. Oleh sebab mata pelajaran tersebut tidak ditawarkan dalam pakej Sains Reka Cipta, maka saya dan beberapa orang rakan lain yang menambah mata pelajaran tersebut terpaksa belajar sendiri dan berusaha lebih sedikit bagi memastikan kami tidak ketinggalan. Dan akhirnya, saya mendapat A1 bagi mata pelajaran tersebut. Alhamdulillah...rezeki diberi Tuhan. Kemudian, saya juga menghadiri temuduga bagi kursus Seni Lukis dan Seni Reka di UiTM Segamat bagi melayakkan diri untuk menyambung Diploma Seni Lukis dan Seni Reka di universiti tersebut. Dan pada hari ini, saya berada di IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, membuat Ijazah Sarjana Muda Perguruan pengkhususan Pendidikan Seni Visual.

Bidang bahasa...debat, puisi, penulisan, sastera. Semuanya adalah kecintaan saya. Namun begitu, saya tidak rasa menjadi 'budak seni' yang sentiasa bergelumang dengan kerja-kerja seni yang tak sudah-sudah itu satu kerugian buat diri saya. Seni adalah kebolehan yang dianugerahkan oleh Allah kepada saya. Ia bukan satu kerugian. Ia adalah satu anugerah. Anugerah yang patut saya syukuri kerana diberikan pelbagai kebolehan. Tidak semestinya saya berbakat dalam bidang bahasa, saya perlu dan mesti membuat major Bahasa Melayu. Analoginya mudah; andaikan anda berbakat dalam bidang nyanyian, tidak semestinya anda perlu menjadi seorang penyanyi bukan? Anda masih boleh menjadi seorang doktor yang berjaya. Seorang doktor yang punya bakat nyanyian yang tinggi. Sebenarnya saya tidak berapa suka dengan frasa 'satu kerugian' itu. Saya kira, apa yang dianugerahkan Allah ini adalah yang terbaik dan terselindung hikmah di sebaliknya. Maka, tidak perlulah saya runsing sama ada saya ini rugi atau tidak menjadi 'budak seni'. =)

Saya akan meneruskan minat saya dalam bidang bahasa dan kekal dengan perjuangan dalam bidang seni. Bukankah bahasa itu juga satu seni? =)

Setiap yang ditentukan itu terkandung seribu satu hikmah yang kadang-kadang kita tak terlihat. Tidak semua yang di dalam dunia ini mampu kita miliki. Kadang-kadang kita perlu berkorban satu atau lebih untuk memperoleh satu yang terbaik. Redha dan syukur...

Catan yang dibuat untuk penilaian ujian amali semester lalu...

p/s : Kepada Farah, terima kasih ya untuk kamera ni. Esok, Kak Misz sambung
siri 2 - kisah budak seni di Afzan...hehehe

Sabtu, 26 September 2009

Pencuri Hati...

"...pencuri hati tak sama dengan pencuri barang…"

Seseorang dengan begitu yakin telah membuat kenyataan seperti yang tertera di atas. Percayakah saya dengan keyakinan yang ditunjukkan? Hmm..pada mulanya memang ya. Tapi mungkin tidak di saat saya menulis entri ini dan setelah saya terasa seperti dikesampingkan sejak kebelakangan ini. Hahahahaha...agak kelakar! Benar-benar dikesampingkan atau saya yang perasan sendiri? Hahahaha...penyakit perasan seorang perempuan nampaknya telah menjangkiti saya! Hahahahaha...(terapi ketawa sangat berkesan di saat-saat ‘jiwa kacau’). Maka, saya akan ketawa lagi...

Pencuri. Apakah sebenarnya takrifan bagi istilah ‘pencuri’? Siapa sebenarnya pencuri? Dan apakah mandatori keperluan sehingga ia boleh dikategorikan sebagai pencuri? Secara umum, apa yang kita sama-sama faham, pencuri itu boleh ditakrifkan sebagai orang yang mengambil sesuatu barangan orang lain secara senyap tanpa diketahui oleh si pemilik. Kebiasaannya, kecurian akan mengakibatkan kerugian tidak kira sedikit mahupun banyak. Yela...kalau hilang sebatang pensel berharga 20 sen pun dikira kerugian juga kan? Hehehehe... Tapi ini dalam konsep 'pencuri barangan'. Bagaimana pula dengan ‘pencuri hati’? Haa...itu yang cheq nak habaq mai...

Ada orang tu kata, pencuri hati tak sama dengan pencuri barang. Yeke tak sama? Hmm..tapi sejak dua tiga hari ni, setelah saya berfikir berkali-kali dan berulang kali, pada saya sebenarnya pencuri hati lebih bahaya daripada pencuri barang. Ini teori saya je (teringat kata-kata yang sering ducapkan oleh roomate saya – “Kak Misz ni suka guna teori sendiri. Banyak sangat teori dia.” Hahahaha...). Mungkin orang lain berbeza pendapat. Tak mengapalah, semua orang berhak bersuara. Saya tak marah pun kalau anda tak sependapat dengan saya. Hehehehe... Mengapa saya katakan pencuri hati itu lebih bahaya daripada pencuri barang? Cuba kita fikir...

Pencuri barang : Mereka hanya mencuri harta benda dan wang ringgit tanpa menyakiti si mangsa. Paling tidak, si pencuri hanya mengakibatkan kesedihan dan kemarahan si mangsa. Namun, kemarahan dan kesedihan itu tidaklah lama. Barangkali juga, si mangsa akan mengalami trauma dan sentiasa berhati-hati. Tapi kebiasaannya, yang menjadi trauma ini ialah apabila mereka dirompak, disamun atau diragut. Perlu faham betul-betul ya...pencuri, perompak, penyamun dan peragut adalah berbeza. Pencuri melakukan pencurian secara senyap tanpa disedari oleh mangsa. Perompak, penyamun dan peragut pula kebiasaannya melakukan kegiatan mereka dalam keadaan mangsa sedar dan mereka juga mungkin bertindak ganas. Jadi, pencuri barangan ini kebiasaannya hanya mengakibatkan kerugian secara fizikal.

Pencuri hati : Sudah namanya pencuri hati, maka yang dicurinya pastilah hati! Hmm..saya katakan pencuri hati ini bahaya kerana mereka ini sukar ditelah. Bak kata orang putih...unpredictable! Tanpa disedari oleh si mangsa, hati mereka telah dicuri oleh si pencuri hati. Kadang-kadang si pencuri hati sendiri tak sedar yang mereka sedang mencuri hati seseorang. Inilah yang susah nak cerita! Sebab saya sendiri tak faham. Hahahaha... Namun, apa yang pasti si pencuri hati ni kadang-kadang akan menyebabkan si mangsa mengalami fobia yang berpanjangan dan kesedihan yang tepu. Lebih parah jika si pencuri hati mencuri hati dan memulangkannya kembali kepada si mangsa dalam keadaan hati tersebut telah kronik dan calar-balar. Teruk kan? Si pencuri hati yang seperti ini ibarat si pemancing ikan yang tidak berminat dengan hasil pancingan. Dia memancing dengan senang hati dan setelah ikan terlekat di mata kail, dia melepaskan kembali ikan tersebut ke dalam air. Maka, ikan itu akan berasa amat sakit disebabkan oleh bisanya ketajaman mata kail itu dan mungkin juga ikan itu akan menderita selagi ia masih hidup. Hmm..macam itulah lebih kurang. Namun, tak semua pencuri hati itu teruk. Ada juga pencuri hati yang benar-benar ikhlas. Setelah dicurinya hati si mangsa, dijaganya baik-baik kerana rasa bertanggungjawab terhadap perbuatannya yang telah mencuri hati seorang insan yang setia.

Pengajaran yang boleh kita dapat ialah...hmmm...jika kamu sedar kamu sedang dan telah mencuri hati seseorang, maka berfikirlah kamu semasak-masaknya. Jika kamu mahu memulangkannya semula, janganlah kamu pulangkan dalam keadaan yang sudah parah. Atau lebih mudah, elakkan daripada mencuri hati seseorang jika kamu belum bersedia untuk menjaganya dengan baik.

“If you find someone else in love with you and you dont love her, feel honoured that love came and called at your door, but gentelly refuse the gift you cannot return. Do not take advantage, do not cause pain. How you deal with love is how you deal with you, and all our hearts feel the same pain and joys, even if our lives and ways are different...”

Itu saja kot yang saya dapat kongsi. Esok saya akan pulang ke kampus. Kembali menyibukkan diri dengan kerja seni yang tak sudah-sudah, terus membuat terapi ketawa dan menghiburkan diri. Aja!!! Hehehe...

p/s : Nampaknya saya gagal dalam ujian Ilahi. Seseorang telah mencuri sesuatu daripada saya dan sekarang saya merasa sakitnya sedikit demi sedikit. Kembalikan saya kepada senyuman atau bawa saya kepada kenyataan?

Isnin, 14 September 2009

Kekeliruan Identiti...

"Mas, lelaki sekarang ni banyak yang main-main je. Susah nak percaya. Tak payah la susah hati dengan lelaki macam tu..."

Hahaha...hari ni pagi-pagi lagi saya dah gelak sakan. Tadi terserempak dengan seorang adik junior ni. Masharita namanya. Pertanyaan di pagi hari oleh adik ini: "Kak Misz, Kak Misz ada tulis tentang Mas tak kat blog Kak Misz?" Ligat kepala saya berpusing. Mengingati kalau-kalau ada tentang dirinya yang saya tulis. Sungguh! Tak ingat langsung! Berjumpa dengannya pun jarang sekali. Jadi, saya tak dapat nak mengingat apa-apa. Maka, saya katakan tidak ada. Tapi dia beria mengatakan ada. Katanya, "kawan-kawan Mas cakap ada nama Mas..." Saya mengingati lagi. Setelah difikir berkali-kali dan berulang kali, barulah saya teringat tentang entri saya yang lalu... Hahahaha... Saya pun jelaskan kepadanya, "Oooo...tu Mas lainlah dik!" Itu adik junior yang seorang lagi. Adik junior yang agak rapat dengan saya. MASTURA bukan MASHARITA... Hai...macam-macam. Payah juga ya kalau menulis nama singkatan saja. Banyak benar nama yang sama... Tak mengapa...lepas ni, Kak Misz tulis nama penuh ya... Hehehe...

p/s : Agak mengantuk...baru sampai dari kampung pukul 3 pagi tadi. Dan kini di bilik kuliah... Beratnya mataku...

Rabu, 9 September 2009

Keliru...


p/s: Ya Allah...kurniakanlah aku perasaan cinta pada-Mu...cinta yang melebihi cinta kepada seluruh ciptaanmu dan jadikanlah aku hamba-Mu yang diredhai...berikanlah aku petunjuk-Mu...

Khamis, 30 Julai 2009

Buku...buku...buku lagi... =)

Semalam saya tiba di bilik lebih kurang jam 9.30 malam. Letih juga otak ni; dua hari mendengar pembentangan kertas kerja yang pelbagai. Dan pastinya, semuanya berkaitan dunia tekstil! Kerana apa ya? Sebabnya...kami menghadiri KONVENSYEN TEKSTIL! =) Dah tentulah pembentangan-pembentangan tersebut berkisar tentang dunia tekstil dan kali ini fokusnya lebih kepada dunia batik, songket dan tenunan kreatif. Hmm...agak bergunalah bagi golongan bakal guru seni seperti kami ni.

Tetapi, ada sesuatu yang membuatkan saya lebih bahagia dan sedikit lupa dengan kebosanan dan kegusaran. Sebelum bertolak pulang ke kampus petang semalam, kami dibawa ke MidValley. =) Suka; bukan kerana nak ber'shoping'. Saya suka kerana saya menghabiskan masa hampir dua jam berada dalam MPH's Book Store! Terujanya melihat gedung buku tersebut. Saya katakan pada Wan Chik (teman baik saya), saya tak mahu ikut mereka mencuci mata dan tinggalkan saja saya di kedai buku ini, tapi mesti datang cari saya di sini bila hendak pulang nanti. Kalau tidak, alamatnya, saya tak tahulah nak balik macam mana! Sebab saya kurang arif dengan tempat-tempat di sini.

Saya menghabiskan masa dengan meronda-ronda ke seluruh bahagian rak buku yang tersedia. Melihat kalau-kalau ada buku yang menarik untuk dibeli. Sungguh! Boleh gila dan rasa nak miliki semua buku yang saya suka. Saya khabarkan kepada abang saya, Hafezi melalui SMS. Satu saja perkataan balasan daripadanya; "GELOJOH"! Uh..tak kisahlah abang... Yang penting Mis sangat bahagia sebab Mis dah jumpa buku yang Mis nak! =)

Lebih kurang jam 5.30 petang, kami bertolak pulang ke kampus. Saya pulang dengan senyuman, dengan rasa bahagia, dengan rasa puas hati. Lain kali, saya nak ke sini lagi... =)

p/s : Oleh sebab masalah 'line wireless' yang agak lambat, gambar buku-buku yang saya beli, akan saya muat naik kemudian.

Khamis, 23 Julai 2009

Kerana apa...

Lama saya biarkan taman ni tak berusik. Bukan kerana kesibukan, tapi kerana saya sebenarnya tak tahu nak menulis tentang apa. Saya punyai idea dan cerita untuk saya kongsi dengan pelawat setia yang rajin menapak ke taman saya. Kadang-kadang, terlalu banyak yang saya fikirkan. Balik daripada kuliah, kononnya nak mengaranglah. Tapi selalunya, cerita hanya bermain di kepala. Sudahnya, hilang begitu saja. Susah juga kalau sudah bertapak rasa malas menulis ni. Kadang-kadang, kerja yang tak sudah-sudah ini pun buat saya pening. Konflik yang menekan, stress yang kadang-kadang datang menyinggah; jenuh juga dibuatnya. Sehari dua ni, saya tak berapa bersemangat. Bukanlah disebabkan oleh faktor kesibukan dan kerja yang melambak, tapi, lebih kepada faktor peribadi yang menekan. Atau lebih senang saya katakan, saya mengalami KONFLIK JIWA mungkin! Emosi sedikit tidak stabil. Buat masa ini, saya lebih senang membiarkan diri saya berada lama dalam fasa bertenang. Masalah yang membelenggu ini, harapnya biarlah cepat-cepat usai. Saya sudah letih! Moga Allah memberikan kekuatan dan ketenangan...

p/s : Ingin membenarkan diri mencari ruang ketenangan dan sedikit kekuatan... Mahu diam dan tenang...

Bintang yang tersenyum senang,
sudilah kiranya meminjamkan daku sedikit cahaya,
akan kupulangkan setelah hatiku
hilang gelita hiba...

Khamis, 11 Jun 2009

Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009

Agak terlewat rasanya ana menulis catatan ini. Kesibukan dengan peperiksaan dan baru-baru ini pulang bercuti pula ke kampung, menyebabkan aktiviti kegemaran ana ini terbantut untuk seketika. 22-24 Mei 2009. Tarikh yang membawa ana menjadi warga Bandaraya Bersejarah untuk sekejap waktu. Bertempat di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka, ana dan hampir 200 orang lagi berhimpun dalam sebuah pertemuan yang dinamakan "Perhimpunan Penulis Muda Nasional".

Berbaloi juga rasanya ana berkejar dari Kuala Lipis dengan menaiki keretapi jam 1.30 pagi, kemudian transit sebentar di rumah (di Kluang) untuk sejam dua sebelum meneruskan perjalanan ke Melaka dengan menaiki bas pula. Tiba di Melaka, teman se'MPR' (Kak Wani) datang mengambil ana di Melaka Sentral. Syukran jazilan ya ukht. Jasamu dikenang! =)

Tiga hari berhimpun, banyak ilmu yang ana peroleh. Pembentangan beberapa kertas kerja yang rata-rata berkisar tentang perjuangan dan halatuju penulis muda memberikan sedikit gambaran kepada ana yang baru saja bertatih-tatih dalam dunia penulisan ini. (Walaupun tak kesemua pembentangan tersebut tercapai di pemikiran ana dek kerana selitan falsafah dan ideologi yang terlalu tinggi bagi ana yang masih dangkal ini)


Ramai juga penulis yang ana temui. (Waktu itu, ana lebih suka menjadi pemerhati. Sejujurnya, masih takut-takut untuk bertanya dan berbual-bual dengan mereka kecuali dengan mereka-mereka yang telah ana kenali sebelum ini. Antaranya Cikgu Sahrunizam, yang ana temui dalam Majlis Diskusi Karya Sastera Negeri Pahang yang diadakan di kampus ana tidak lama dulu). Dan inilah kali pertama ana bertemu muka dengan Kak Nisah Haji Harun yang terlalu ingin ditemui (yang ini pun ana tak berani bertanya apa-apa. Cuma bercakap sedikit semasa ana membeli buku dengannya). Sungguh! Ana suka gaya Kak Nisah bercakap (bukan memuji atau cuba membodek. Tapi sejujurnya, ana suka gaya beliau!) Apabila beliau membentangkan kertas kerja, ana tekun memerhati. Ya, memerhati! Jujur, sebahagian saja yang dibentangkan oleh Kak Nisah masuk ke otak, dan selebihnya lebih gemar melihat Kak Nisah berhujah! =) Satu hari nanti ana ingin berlajar berhujah daripada Kak Nisah.


Pulang dari Melaka, ana membawa bersama-sama beberapa buah buku dan majalah. Antara yang sangat dihargai ialah antologi puisi "Bahasa Senjata" yang ana terima daripada Cikgu Sahrunizam. Terima kasih, cikgu! Ana juga akan cuba untuk terus berkarya. Moga dipermudahkan segalanya. Amin.


Terima kasih Melaka, terima kasih PPMN 2009, terima kasih penganjur, terima kasih pembentang-pembentang yang telah berjaya membuka sedikit minda ana tentang perjuangan seorang insan bergelar penulis, terima kasih Kak Nas, Pak Im, Cikgu Sham, Abang saiful, terima kasih senior-senior MPR, terima kasih Kak Wani dan Dik Ayu. Terima Kasih semua! Jumpa anda di puncak kejayaan...Insya Allah...


Peserta PPMN 2009 di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka


Kenangan...ana, Kak Wani dan Dik Ayu