Ahad, 11 Januari 2009

Adikku Yang Naif...Mel


Hari ini junior PISMP pulang ke kampus. Gembiranya saya, adik-adik saya dah balik! Kalau dulu mereka bertandang sebagai pelatih Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, tapi kali ini mereka bertandang sebagai bakal siswazah perguruan (bakal guru) yang akan sama-sama melangkah seiring saya. Meriahlah blok Cempaka selepas ni! =) Kami bergotong-royong membantu mengangkut barangan rakan-rakan yang banyak belaka. Saya membantu teman sebilik saya (Wina) yang sudah saya anggap seperti adik saya sendiri. Mel (adik 'superjunior') yang agak rapat dengan saya turut membantu. Seusai membantu Wina, Mel minta diri untuk turun ke bawah. Katanya nak tolong angkut barang-barang Kak Sal pula. Rajin betul budak ni. Semua orang dibantunya. Dari aras bilik saya, saya dapat melihat Mel yang sangat sibuk berbanding orang lain walhal barang-barang yang diangkut bukanlah kepunyaannya. Saya kemudiannya terus membantu Wina mengemas barang-barang miliknya. Selang beberapa minit, saya terdengar seseorang sedang bersuara agak kuat dari aras empat. seperti sedang mengarahkan sesuatu. Saya jengah keluar. Saya terlihat adik junior yang cukup saya kenali sedang mengarahkan Mel mengambil barang-barangnya di tingkat bawah. Huh! Panas hati melihat dia mengarah-ngarah Mel begitu. Mel memang baik. Mel memang rajin. Mel memang suka membantu. Mel memang naif. Tapi bagi saya, tidak sewajarnya mereka mengambil kesempatan terhadap kenaifan adik saya ini. Mungkin mereka fikir mereka boleh mengarahkan apa saja kerana Mel pasti akan buat. Saya benci dengan sikap suka mengambil kesempatan terhadap kebaikan orang lain seperti ini. Melihatkan itu, saya terus saja berkata pada Wina, "nanti bila Mel pindah maktab, kita semua kena tolong dia angkat barang-barang dia." Wina mengangguk faham. Ya...apabila melangkah ke alam PISMP nanti Mel mungkin akan bertukar kampus kerana dia akan mengikuti kursus major Sains. Kampus kami tidak menawarkan kursus itu. Pada masa itu, tidak ada lagi Mel yang rajin menolong. Tidak ada lagi Mel yang ceria dan tidak pernah menghampakan orang. Tidak ada lagi Mel yang baik hati dan ikhlas. Tidak ada lagi Mel di Afzan... Dan saya....pasti akan rindukan adik saya yang punya hati tulus dan ikhlas ini...

Tiada ulasan: