Rabu, 7 Januari 2009

Ingin jadi sepertinya...

(Dipetik daripada laman Dato' Baha Zain)

REMAJA
(untuk para fasilitator dan peserta MPR)

Kulihat senyum mereka
cempaka harum sewaktu pagi
dimandi cahaya, seakan mendung tak pernah ada
disirami sinar, seakan senja tak bakal tiba.

Kalau aku piala dahaga merindukan masa lalu
kudengar muzik bergetar dalam dadamu
meraikan masa depan yang pasti berkunjung
kembara panjang yang remang berliku.

Kalau aku hampir sampai ke perhujungan
kulihat waktu merayap memanjat urat-urat usiamu
engkau adalah ibu dan bapa , tua-tua masa depan
penyair yang bersuara berani, berbicara tentang kebenaran
seniman yang tegak berdiri, melukiskan warna zaman.

Kudengar muzik bergetar
mencari arah di persimpangan
mencari wajah perjalanan
teriring doa dan,

Amin

Baha Zain
Dusun Permai
13 Disember, 2008


Termenung membaca puisi ini dititipkan oleh seorang penyair romantis bernama Dato' Baha Zain sewaktu beliau menjadi jemputan bagi slot 'bersama tokoh sastera' dalam Minggu Penulis Remaja yang saya ikuti bulan sudah. Betapa Dato' begitu mengharapkan kami menjadi pewaris ketajaman penanya... Semangat yang ditiup ke dalam diri melalui bait-bait puisi di atas, sungguh-sungguh membuatkan saya berfikir-fikir. Saya mahu jadi sepertinya dan sangat ingin menghasilkan karya sebaik beliau. Tapi, mampukah saya? Payah benar rasanya... Masih lagi merenung dan berfikir-fikir. Sekarang sudah mula sibuk dengan kuliah dan aktiviti institut. Bagaimana perjalanan selepas ini....? Mampukah menjadi seorang pujangga.....? =(

Tiada ulasan: