Sabtu, 3 Oktober 2009

Ceritera Seni Siri 1 : Satu Kerugian Kerana Dapat Major Seni

"Ramai lecturer cakap, satu kerugian Kak Misz buat major Seni sebab Kak Misz berbakat dalam bidang bahasa. Sepatutnya Kak Misz buat major BM..."

Minggu depan Insya-Allah saya akan menghadapi hari-hari mendebarkan selaku guru pelatih Major Pendidikan Seni Visual (tapi taklah berdebar sangat sebenarnya...hahahaha). Seperti semester-semester yang sudah, kami akan menghadapi Minggu Pameran Dan Ujian Amali Pendidikan Seni di mana kami telah diberi beberapa tugasan untuk menghasilkan karya dan karya-karya tersebut akan dipamerkan dan sesi pembentangan akan berlangsung untuk penilaian. Lazimnya, penilai yang bertanggungjawab menilai karya-karya kami ialah pensyarah-pensyarah dari IPGM lain. Pada kali ini, penilai yang akan menilai hasil karya kami ialah Tn. Hj. Judin dari IPGM Kampus Perlis (betul kot nama ni...hehe..kalau salah, mohon maaf). Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar.

Tadi saya ke bilik adik junior selang beberapa bilik daripada bilik saya. Farah namanya. Pergi meminjam kamera untuk mengambil gambar proses penghasilan arca asemblaj saya. Kebetulan Farah juga pelatih Major Pendidikan Seni Visual seperti saya. Duduk sekejap mendengar luahan perasaan adik ini dan teman sebiliknya, Nor. Macam-macam yang diborakkan. Secara keseluruhannya tentulah berkisar dunia seni kami di Afzan ini. Tentang kerja-kerja seni, hari pameran dan ujian amali yang semakin hampir, dan bermacam-macam lagi.

Tapi pada siri ini, saya ingin mengulas tentang 1 perkara. Satu ayat yang terluncur daripada bibir Farah bikin otak saya ligat berpusing - "Ramai lecturer cakap, satu kerugian Kak Misz buat major Seni sebab Kak Misz berbakat dalam bidang bahasa. Sepatutnya Kak Misz buat major BM..." Hmm...sebenarnya saya dah lali dengar ayat ini. Dulu, agak terpengaruh juga dengan kata-kata ini. Terdetik juga untuk menukar major semasa tahun pertama pengajian. Namun, setelah difikir-fikirkan kembali, saya rasa apa yang telah ditakdirkan ini adalah yang terbaik untuk saya.

Ya...memang saya berminat dengan bidang bahasa. Namun, apabila saya melihat kembali kronologi pengajian saya sejak daripada kecil, sememangnya saya lebih terdedah dengan dunia Seni Visual. Sejak kecil saya banyak memasuki pertandingan mewarna dan melukis. Masuk tingkatan 4, saya memilih untuk mengikuti jurusan Sains Reka Cipta, juga berkaitan dengan seni. Semasa mendaftar subjek untuk peperiksaan SPM, saya menambah mata pelajaran Pendidikan Seni Visual. Oleh sebab mata pelajaran tersebut tidak ditawarkan dalam pakej Sains Reka Cipta, maka saya dan beberapa orang rakan lain yang menambah mata pelajaran tersebut terpaksa belajar sendiri dan berusaha lebih sedikit bagi memastikan kami tidak ketinggalan. Dan akhirnya, saya mendapat A1 bagi mata pelajaran tersebut. Alhamdulillah...rezeki diberi Tuhan. Kemudian, saya juga menghadiri temuduga bagi kursus Seni Lukis dan Seni Reka di UiTM Segamat bagi melayakkan diri untuk menyambung Diploma Seni Lukis dan Seni Reka di universiti tersebut. Dan pada hari ini, saya berada di IPGM Kampus Tengku Ampuan Afzan, membuat Ijazah Sarjana Muda Perguruan pengkhususan Pendidikan Seni Visual.

Bidang bahasa...debat, puisi, penulisan, sastera. Semuanya adalah kecintaan saya. Namun begitu, saya tidak rasa menjadi 'budak seni' yang sentiasa bergelumang dengan kerja-kerja seni yang tak sudah-sudah itu satu kerugian buat diri saya. Seni adalah kebolehan yang dianugerahkan oleh Allah kepada saya. Ia bukan satu kerugian. Ia adalah satu anugerah. Anugerah yang patut saya syukuri kerana diberikan pelbagai kebolehan. Tidak semestinya saya berbakat dalam bidang bahasa, saya perlu dan mesti membuat major Bahasa Melayu. Analoginya mudah; andaikan anda berbakat dalam bidang nyanyian, tidak semestinya anda perlu menjadi seorang penyanyi bukan? Anda masih boleh menjadi seorang doktor yang berjaya. Seorang doktor yang punya bakat nyanyian yang tinggi. Sebenarnya saya tidak berapa suka dengan frasa 'satu kerugian' itu. Saya kira, apa yang dianugerahkan Allah ini adalah yang terbaik dan terselindung hikmah di sebaliknya. Maka, tidak perlulah saya runsing sama ada saya ini rugi atau tidak menjadi 'budak seni'. =)

Saya akan meneruskan minat saya dalam bidang bahasa dan kekal dengan perjuangan dalam bidang seni. Bukankah bahasa itu juga satu seni? =)

Setiap yang ditentukan itu terkandung seribu satu hikmah yang kadang-kadang kita tak terlihat. Tidak semua yang di dalam dunia ini mampu kita miliki. Kadang-kadang kita perlu berkorban satu atau lebih untuk memperoleh satu yang terbaik. Redha dan syukur...

Catan yang dibuat untuk penilaian ujian amali semester lalu...

p/s : Kepada Farah, terima kasih ya untuk kamera ni. Esok, Kak Misz sambung
siri 2 - kisah budak seni di Afzan...hehehe

2 ulasan:

Admin berkata...

lawany catan nie kmisz... =D

hmm sgalanya mndkung hkmah, Allah mha mngetahui segala yg terbaik buat hamba2NYA.. =)

.: S.A.Y.A :. berkata...

hehehe...kelakr jek catan ni ayu...
lom sampai tahap yg boleh dikatakan lawa.
apepun, terima kasih kerana menghargai... =)