Jumaat, 20 November 2009

Di Taman Hati Seorang Bakal Guru...


Ini rasa seorang manusia
yang masih hijau berjasa

dalam dunia didikan.
Hanya sebutir cuma
benih itu kusemai,
hari ini mengejut harum
di segenap sudut taman hati.

Dari jauh angin khabar menderu
menyapa kuntum-kuntum bunga
di taman hati.

Mekar sudah...

Betapa jernih keharuan
bertitik-titik luruhnya
membasahi tanah pengharapan.
Sungguh!
Inikah rasa bila bunga didik
menghadiahkan harum kejayaan?

Ingatan yang
indah dan manis!



"Cikgu, saya Zuraidah. Murid SK Bebar. Saya dapat 4A1B UPSR." Seorang murid yang pernah saya elus hatinya satu ketika dulu. Tidak lama. Seketika cuma. Hanya semalaman memberi kata semangat dan rangsangan. Sekadar melunaskan tanggungjawab sebagai guru pelatih yang terlibat dalam khidmat komuniti di Sekolah Kebangsaan Bebar tidak lama dulu. Namun, hari ini, ingatan ikhlas dengan membawa berita kejayaan, sungguh mengharukan! Betapa yang sekejap itu, sudah menjadi kejap mengikat ingatan mereka terhadap seorang bakal guru yang dianggap memaknakan kehidupan mereka. Terima kasih Zuraidah! Terima kasih Jenifer! Terima kasih Muhammad! Kerana masih ingat kepada seorang guru yang tak banyak memberi ini! Moga kamu semua berjaya dan bahagia dunia dan akhirat. Inikah rasa manis dan indah itu?

p/s : Tuhan...rahmati dan redhailah hamba-Mu ini. Moga suatu hari nanti, amanah itu mampu kupikul dengan tenang dan lapang. Amin...


2 ulasan:

melor berkata...

puisi yang mantap.
part pict tu, mana satu cikgu, mana satu anak murid ek? =p

.: S.A.Y.A :. berkata...

kurang garam ko...hehehe
nak wat guane...anak murid la ni besau2 belaka...