Khamis, 1 September 2011

.: Mengasingkan Perasaan :.

“Berserah diri, kemudian pasrah. Orang bertawakal berasa tenang kerana ada janji daripada Allah. Orang berserah diri cukup dengan pengetahuan mengenai Allah dan orang pasrah reda terhadap hikmah Allah. Tawakal adalah permulaan, berserah diri adalah pertengahan dan pasrah adalah penghabisan.”
- Abu Ali Ad-Daqqaq -

Bercerita tentang mengasingkan perasaan, ramai akan menyangka kita perlu untuk membuang perasaan yang tidak selesa seperti sedih dan sebagainya jauh-jauh dari hati kita. Tidak, sebenarnya bukan begitu. Mengasingkan perasaan adalah dengan menyelami perasaan itu pada awalnya mengasingkannya setelah kita merasai kepahitannya.

Jika kita berasa sedih dan terluka, laluilah dan selamilah perasaan itu terlebih dahulu. Mengapa perlunya untuk kita melalui perasaan sedih itu? Sebenarnya begini, apabila kita membenarkan diri kita untuk merasa apakah perasaan sedih, maka kita akan dapat memahami bagaimana dan apa sebenarnya perasaan sedih itu. Perasaan yang membawa kepada tangisan, sebak, marah, putus asa dan sebagainya; itu perasaan sedih yang kita rasai. Lalu, sebagai insan yang bijak, seharusnya kita dapat menilai adakah perasaan sedih itu perlu untuk kita lalui setiap masa dan setiap ketika? Adakah kita mahu untuk terus murung tanpa melakukan apa-apa untuk mengubati perasaan itu?

Seharusnya, setelah kita melalui dan menyelami rasa sedih itu yang sudah kita ketahui bebanannya, maka untuk peringkat seterusnya, belajarlah mengasingkan perasaan tersebut. Tidak salah untuk kita berasa terluka dan sedih. Itu fitrah yang biasa dilalui oleh setiap insan yang tercipta. Namun, harus kita mengerti perasaan itu Allah yang beri dan hati itu Allah yang menjaganya. Dan kita perlu untuk percaya bahawa Allah Maha Penyembuh hati yang terluka dan sedih.


Jangan kita terus-terusan bersedih kerana perkara yang telah terjadi. Yang terjadi akan kekal terjadi dengan takdir-NYA. Tidak mengapa kita menangis untuk seketika tetapi carilah kekuatan daripada airmata yang mengalir itu. Ingatlah insan...

"Dan apabila perancangan tidak menjadi seperti yang diharapkan, senyum dan ingatlah. Manusia merancang dengan cita-cita sedangkah Allah merancang dengan cinta-NYA..."

Jangan kita bersangka buruk kepada ujian-NYA. Sungguh! Hidup ini adalah ujian... Dan ujian itu terselit hikmah di sebaliknya. Dan haruslah kita sebagai insan, membulatkan tekad menyerahkan urusan kesedihan itu kepada-NYA setelah kita berusaha dan terus berusaha. Berlapang dadalah atas setiap apa yang berlaku. Belajarlah mengasingkan perasaan. Pujuklah hati...

"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan ada kemudahan..."
Al-Insyirah : 5


p/s : Menangis sehingga mata serupa mata panda (@_@)v

Tiada ulasan: