Rabu, 4 Februari 2009

Manifesto...kepalsuan yang benar...


Saya baru saja pulang daripada majlis pembentangan manifesto calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya Jawatankuasa Perwakilan Pelajar di kampus saya. Pilihanraya pada kali ini, saya rasakan pilihanraya yang paling meriah berbanding tahun-tahun sudah. Gelagat calon-calon yang sibuk memancing undi, keriuhan penyokong-penyokong parti yang sibuk juga mencanang ketokohan wakil-wakil mereka. Sungguh! Sangat meriah dan riuh-rendah di dewan tadi, malah terbawa-bawa keriuhan tersebut hingga ke kolej kediaman. Geli hati melihat keletah penyokong yang bertindak lebih sudu daripada kuah dan kadangkala agak lucu. Sikit atau banyak, sejujurnya saya pun sedikit-sedikit terikut juga dengan sentimen kepartian yang ditunjukkan oleh rakan-rakan! =) Sebentar tadi, di depan beratus-ratus orang pelatih, satu-persatu manifesto dibentangkan oleh calon-calon dari ketiga-tiga parti yang bertanding. Banyak sungguh janji-janji yang ditaburkan malah banyak juga janji yang diulang suara (manisfesto yang sama setiap tahun). Apabila mereka berdiri dengan segaknya dan berucap dengan yakinnya, terlintas juga di hati; "Benar-benar akan terlaksanakah janji-janji yang diucapkan itu? Atau hanya sekadar hujah memancing undi? Atau mungkin ianya hanya kekal sebagai janji yang tak tertunai yang kemudiannya akan diulang suara dalam pembentangan manifesto pada pilihanraya musim hadapan?". Sukar untuk ditelah... Saya doakan agar calon-calon yang terpilih nanti akan berusaha seikhlas hati dan jujur dalam menyampaikan suara pelajar. Dan saya juga mendoakan mereka tidak akan menjadi klon kebanyakan pemimpin masa kini yang berdiri di atas bukit tinggi tanpa memandang lagi tanah di bumi, yang kononnya hero bangsa tetapi sebenarnya sekadar mengejar kepentingan diri... Wallahua'lam...

Tiada ulasan: