Ahad, 1 Mac 2009

Apabila Kita Terlalu Mengambil Kisah Apa Yang Mereka Katakan...

"KAK MIS"..."KAKAK"... Saya tersenyum sendiri... Mungkin ini memang jalan takdir saya di blok Cempaka, menjadi "kakak" kepada semua adik-adik junior yang sangat saya sayangi. Hai...kadang-kadang tak terlayan kerenah adik-adik yang macam-macam perangainya! Tapi apapun, merekalah buah hati saya di sini. Merekalah racun, mereka jugalah penawar. Saya yang paling senior (bukan dari aspek umur ye, cuma saya satu-satunya pelatih batch "super senior" di blok ini, sebab itu mereka memanggil saya Kak Mis walaupun ada yang sebaya).

Malam ini saya terpanggil untuk berkongsi perihal seorang adik saya yang baru saja melangkah keluar dari bilik saya. Hmmm...kali ini datang membawa ceritera yang sama seperti selalu, rasa sedih yang sama, rasa sesal yang sama, rasa kebimbangan yang sama. Adik saya yang seorang ini, saya mengenalinya sewaktu saya menjadi "fasi" Minggu Pengurusan Pelajar Baru hampir dua tahun sudah. Pada awal perkenalan, saya kira adik yang seorang ini cukup "kecoh" dan ramah berbanding rakan-rakannya yang lain. Setiap kali sesi LDK, dialah yang paling bersemangat. Boleh dilihat tawa ceria yang saban hari menghiasi wajah manisnya.

Tapi, setelah hampir setahun bergelar pelatih di sini, saya sudah jarang melihat dia tersenyum. Pada awalnya saya buat tidak kisah saja, almaklumlah, kalau terlalu kisah susah juga... =) Namun, saya mula tahu sedikit demi sedikit tentang perihal dirinya sewaktu saya berpindah ke blok Cempaka ini. Kebetulan pula, "roomate" saya ini sekelas dengannya dan teman rapat pula. Jadi, selalulah adik ini bertandang ke bilik saya. Dari situlah saya tahu sedikit demi sedikit tentang perubahan sikapnya.

Sehinggalah satu hari dia meluah perasaan tentang betapa susahnya dia menjalani hari demi hari di Afzan. Dia tidak mampu melakukan apa sahaja yang dia minati. Masuk tarian tak boleh, main bola tak boleh, masuk itu tak boleh, masuk ini tak boleh. Pendek kata, semuanya sangat sukar untuk dia lakukan. Saya tanya kenapa jadi begitu. Huh! Jawapannya mengundang kembali kisah sedih saya sewaktu mula-mula bergelar guru pelatih di Afzan ini. Katanya, "Saya tak boleh buat apa yang saya minat sebab saya terikat dengan ramai orang, terutama roomate saya. Ramai orang menyekat kemahuan saya. Saya takut orang kata macam-macam kalau saya menyertai apa yang saya suka tu."

Aduh...sedih sungguh adik saya ini! Sedih kerana nampaknya dia terlalu mengambil kira apa yang dikatakan oelh orang sekeliling. Sedangkan apa yang ingin dia lakukan itu bukanlah satu kesalahan. Dia telah membazirkan bakatnya, berubah menjadi pasif hanya kerana ORANG LAIN, bukan kerana dirinya. Saya sedikit geram dengan sikapnya yang tidak pernah kasihan terhadap dirinya sendiri. Sudah berkali-kali saya katakan padanya, "Dik...mulut orang takkan kita boleh tutup. Mereka bercakap sebab mereka cemburu dengan bakat kita. Buat saja apa yang awak mampu buat, selagi ia tak melanggar peraturan dan etika, teruskan! Pedulikan cakap-cakap orang!" Tapi, malangnya, hari ini, entah untuk kali yang keberapa, adik saya ini datang lagi membawa kesedihan yang sama.

Hai...dik...apa lagilah yang kakak boleh yakinkan kamu yang sebenarnya kamu mampu untuk tersenyum... Kakak sangat berharap awak takkan jadi diri awak "yang susah" ini. Cubalah keluar dari kemelut sedih yang membelenggu diri awak tu. Jadilah diri kita, dik. Hidup ini memang penuh dengan hal tak tersangka serta dugaan. Dan awak perlu tahu, orang yang hebat adalah orang yang berjaya menghadapi dugaan yang hebat juga. Bangunlah, dik! Pedulikan apa kata mereka. Manuia itu memang teramat sukar untuk ditelah hatinya. Percayalah, awak mampu lakukan apa yang awak mahu. Cuma, awak perlu tahu di mana semangat itu berada. Carilah, dik! Kakak doakan awak berjaya!


p/s: Teringat pesan bapa angkat saya..."Sepohon rambutan berbuah lebat di tepi jalan. Ramai orang nakkan buahnya. Ada yang jolok, ada yang panjat, ada yang baling pakai kayu. Itulah ibaratnya orang yang banyak kebolehan. Sampai satu generasi, kita akan dilupakan. Tak mengapalah begitu. Ia lebih baik daripada menjadi rambutan jantan seperti dalam seloka pak pandir..."

Tiada ulasan: