Selasa, 3 Mac 2009

Tatkala Kita Berhadapan Dengannya...

Hmmm...semalam, hari ini, sangat-sangat menguji kesabaran. Diam, maka tertindaslah kita. Berbunyi, maka terkena juga kita. Bagaimana ya cara untuk memberi kepuasan hati kepada semua orang? Ya...sebenar-benarnya tidak akan ketemu jawapan! Sebab manusia itu takkan pernah berpuas hati! Nampaknya, saya ini hanya pandai memberi semangat kepada orang lain. Sedang diri? Tatkala berhadapan dengan masalah, mudah sangat rasanya menapak pergi. Mengelak diri dari situasi, atau dengan kata yang lebih mudah difahamai "saya melarikan diri daripada masalah!".

Huh! Macam manalah ya... Semakin kita dewasa, semakin kita yakin bahawa perjalanan hidup ini bukanlah semudah yang kita jangka. Sehari dua ni, berdepan dengan dua tiga manusia yang entah mana pemikiran rasionalnya diletak. Manusia yang pertama, membawa fitnah yang tak tersangka. Mulut yang terlalu culas menceroboh bicara, memutar belit fakta dan dijadikan pula cerita dongeng yang menyakitkan. Manusia kedua, lebih kurang sama dengan yang pertama. Tetapi lebih malang, apabila dia yang tidak tahu apa-apa, tidak pernah pun diganggu hidupnya, tiba-tiba membuka satu cerita bohong sehingga membuatkan orang lain tersalah sangka! Sangat perit menghadapi kedua-dua manusia yang pada hemat saya, kurang arif tentang hukum membuat fitnah.

Dan hari ini muncul pula manusia yang ketiga. Tapi yang ini, berbeza sedikit. Menyakiti secara halus (mungkin kerana ada pertalian sebagai sahabat di antara kami). Yang ketiga ini, lebih kepada melepaskan diri, menyenang diri sendiri tanpa memikirkan temannya yang seorang ini yang sudah teramat sarat kepalanya. Orang kata, "berat sama dipikul, ringan sama dijinjing", tetapi mungkin pada dirinya, "berat, sendirilah kau pikul, ringan bolehlah aku tolong sikit". Huh! Sungguh! Saya tak faham manusia yang sudah dewasa ini. Seorang sahabat sanggup melihat kawannya susah, asalkan dirinya senang!

Aduh...sungguh! Hari ini kesabaran saya benar-benar diduga hebat! Sehingga sampai satu tahap, saya berfikir untuk lari dari semua masalah ni. Tapi tadi, adik kesayangan saya Mel, yang setia menjadi tong luahan perasaan saya, datang menemani kesedihan saya. Kali ini, nampaknya seorang kakak telah dibasuh semangatnya oleh adiknya sendiri! Banyak yang dik Mel katakan pada saya tadi. Dia mengulangi ayat yang sering saya guna, "mulut orang kak...sampai mati pun kita tak boleh tutup". Tambah lagi, "memang susah kita nak cari keredhaan semua orang. Biarlah orang nak buat apa pun, biarlah orang nak fikir kita salah pun, yang penting kita tahu kita pada tempat yang betul. Biarkan saja, lama-lama diorang diamlah. Kalau akak menarik diri, lari, bermakna akak kalah. Kalau Mel, Mel tak nak kalah dengan orang yang macam tu."

Hmmm....entahlah dik, kakak benar-benar tak faham sekarang ni. Harap kakak dapat pertimbangkan cakap-cakap awak tu. Terima kasih, dik. Sekurang-kurangnya adik sentiasa ada bila kakak sedih. Kakak sayang semua adik-adik kakak!


p/s: Terimbau kembali kenangan di sekolah yang sangat bermakna dan sangat menggembirakan. Teman-teman yang sentiasa di sisi, ketawa dan menahan rasa bersama. ='(

Bila tawa ceria sebegini akan kembali???

Tiada ulasan: