Selasa, 31 Mac 2009

Merchong Dalam Kenangan...

Baru pulang daripada program BIG (Bina Insan Guru) Fasa III di Merchong, Pekan, Pahang. Kali ini program dilaksanakan berdasarkan modul khidmat komuniti di sekolah. Kami ke Sekolah Kebangsaan Bebar. Sebuah sekolah pedalaman yang letaknya hampir sejam dari bandar Pekan dan hampir 45 minit daripada pekan Rompin (berdasarkan apa yang diberitahu oelh salah seorang guru di situ). Murid-murid di sekolah ini hampir 800 orang jumlahnya. Ramai juga anak-anak orang asli bersekolah di sini.

Sebagai tugasan BIG kali ini, kami diminta untuk melaksanakan satu program motivasi awal tahun untuk murid-murid Tahun 6 SK Bebar yang akan mengambil UPSR pada bulan September ini. Pertama kali menjejakkan kaki di sekolah ini, hati tertanya, "kenapa ramai sangat cikgu lelaki?". Hmm... Baru sebentar tadi saya menerima jawapannya daripada seorang rakan saya. Katanya, seorang cikgu di sekolah ini ada memberitahunya, jika ada 9 orang guru baru yang datang, mungkin yang kekal lama hanya seorang dua. Sekolah ini letaknya terlalu jauh dengan mana-mana pekan. Rata-rata guru khususnya perempuan, tidak betah berlama-lama mengajar di sini. Tambahnya lagi, sekolah ini dikatakan "sekolah transit". Apa ya "sekolah transit" tu? Nanti saya tanyakan pada yang pakar. =)

Sepanjang program ini berlangsung, kami cuba mendekati murid-murid di sini terutamanya murid-murid Tahun 6. Hmm... Apa ya yang boleh saya katakan? Sebenarnya, daripada pemerhatian kami selama dua hari ni, murid-murid di SK Bebar ini teramatlah kurang keyakinan diri. Mereka takut untuk bercakap, takut untuk menjawab soalan waima hanya disuruh bercakap di dalam kumpulan yang kecil sahaja. Bila diselidiki, ramai antara murid ini yang latar belakang keluarganya miskin, jauh daripada kesenangan hidup. Mungkin disebabkan inilah mereka berasa rendah diri.

Seorang rakan saya, ketika dia memberi motivasi kepada murid-murid ini, ada dia menyebut tentang perlunya mengurangkan aktiviti-aktiviti membuang masa seperti menonton TV. Dan apabila ditanya kepada salah seorang murid, murid tersebut menjawab, "rumah saya tak ada TV, cikgu,". Sungguh! Terdiam dibuatnya. Kemudian apabila disuruh menampal kertas akujanji 'TARGET 5A UPSR' di dinding bilik, di meja belajar, ada pula yang menjawab, "rumah saya tak ada bilik, cikgu,". Lalu ditanya, "Habis, kamu belajar atas apa?". "Atas simen, cikgu," (maksudnya lantai rumah la). Aduhai... Apa ya yang boleh saya katakan lagi? Mereka-mereka yang punya kuasa, yang dipilih sebagai wakil rakyat, rumahnya kalah singgahsana! Tapi anak-anak ini, beginikah nasibnya? Entahlah...

Ya, memang ada peruntukan kewangan untuk pelajar miskin. Tapi, jumlah yang terlalu sedikit itu memadaikah? Kalau memadai, pasti hasrat kerajaan untuk membasmi kemiskinan tu dah lama berjaya. Tapi lihat saja, selepas 51 tahun merdeka, yang kaya terus jadi kaya. Yang papa, kekallah sebagai papa. Duit yang banyak itu, banyak juga dihabiskan pada yang sia-sia. Mengadakan pesta dan perayaan bergembira di tengah kota (tapi tak pula di pedalaman yang hiba ini). Itulah dunia hari ini. Bila kemoralan manusia kian tandus, hati manusia kian gelap dilitupi kerakusan duniawi. Yang menjadi mangsa siapa? Yang itulah. Yang kami telusuri dua hari ini. Yang ada di SK Bebar, SK Kampung Bantal, SK Ulu Tembeling, SK Kampung Pagi dan entah berapa banyak lagi mangsa bahaman harimau jadian ini.

Seperkara lagi, berkaitan PPSMI. Ya, sememangnya bermasalah! Bahasa Melayu pun masih tersangkut-sangkut kanak-kanak di pedalaman seperti di SK Bebar ini mempelajarinya. Inikan pula belajar dalam bahasa Inggeris yang entah apa-apa. Sudahlah mereka berlatarbelakangkan keluarga yang rata-rata tidak langsung memahami bahasa Inggeris, apatah lagi menggunakannya sebagai bahasa harian. Kasihan sungguh!

Kalau dulu, semasa belajar subjek Sejarah di sekolah, cikgu sejarah saya selalu kata, "Kita kena bangga sebab bahasa Melayu kita pernah menjadi bahasa utama satu ketika dulu. Pernah digelar lingua franca. Pernah menjadi bahasa perdagangan utama. Bahasa intelektual, bahasa pendidikan." Ya...perkataan PERNAH. Tapi kenapa tak DULU, KINI DAN SELAMANYA bahasa Melayu itu menjadi bahasa utama? Apa mungkin keadaan bahasa Melayu kini akan menyambung rentetan sejarah luka bangsa yang bakal termaktub dalam teks-teks Sejarah di sekolah?

Ya, mungkin juga selepas ini tidak ada lagi guru sejarah yang berkata "PERNAH" kerana bahasa Melayu kini sudah terlalu ketinggalan bagi mereka yang terlalu leka dengan komunikasi moden. Dek terlalu taksub dengan "cakap Mat Saleh", satu hari nanti, cikgu Sejarah akan berkata pula seperti ini kepada murid-murid, "Ya, kita perlu berbangga kerana bahasa Melayu kita PERNAH di"pijak" oleh orang-orang Melayu yang punya kuasa itu sendiri!". Nah, maka ketika itu, terimalah kita natijahnya! Jika Hang Tuah itu masih hidup, sudah tentu dia akan berkata "Pasti Melayu Hilang di Dunia" demi melihatkan keadaan bangsa Melayu yang hampir hilang kemelayuannya dewasa ini. Sedar-sedarlah wahai saudara!

Sekolah Kebangsaan Bebar, Merchong, Pekan, Pahang

Rakan-rakan seunit...Unit PISMP Pend. Seni Visual

Setengah jam sebelum acara senam robik bermula


Mereka ini, yang punya impian besar di hati. Apa mungkin akan didengari?

Tiada ulasan: