Rabu, 18 Mac 2009

Cerita Sepanjang Hari...

Cerita jam 9.40 pagi

Pakcik Melayu memakai uniform TNB. Selayaknya dipanggil pakcik. Tapi…aduh! Perangainya serupa saja dengan anak muda yang hidupnya tiada hala! Mengganggu anak dara orang tanpa segan silu. Pakcik Melayu ini, mana hilang rasa malunya ya? Berfikir…


Cerita jam 10.20 pagi


Di pejabat Sekolah Memandu Kluang. ‘Amoi’ comel itu duduk di bangku panjang di hadapan pejabat. Sama tujuannya dengan saya, menunggu van untuk ke litar latihan memandu. Apa di tangannya tu? Oh…permainan ‘magic cube’! Alah…permainan berbentuk sebuah kotak yang mempunyai warna berlainan pada setiap permukaannya tu. Yang kita perlu susun supaya warna-warna tersebut sama. Cikgu saya kata dulu, permainan ni bagus untuk perkembangan IQ. Hmm…yang itulah! Tekunnya dia memutar-mutar kotak tersebut supaya tersusun warnanya. Ya! Dia Berjaya! Nampaknya IQ gadis China ini telah diberi senaman secukupnya pagi ini. Berfikir…


Cerita jam 11.40 tengah hari

Di Pusat Latihan Memandu Kluang (KSDC). Beratur ambil nombor giliran untuk ujian motosikal dengan pegawai JPJ sebentar lagi. Panjangnya barisan. Eh…eh… Suka-suka saja budak lelaki Melayu ni potong barisan! Nak kata buta, tak mungkinlah kan. Nyatanya, memang tak beradab! Hmm…Hampir setengah jam berlalu. Lenguh kaki saya. Tiba-tiba, terdengar suara di barisan sebelah sana, "Antie ambillah dulu,". Bagus betul budak India tu. Dia bagi peluang kepada mak cik China tu untuk ambil nombor giliran dulu. Hmm…semoga kamu lulus ujian JPJ nanti! Berfikir…


Cerita jam 12.30 tengah hari

Masih beratur. Lama betul! Telefon bimbit saya berbunyi. "Hello…" ucapan saya sewaktu mengangkat panggilan itu. Setelah berbual-bual seketika, saya tamatkan panggilan dengan ucapan "Ok, bye…", klik! Tamat perbualan. Lebih kurang sepuluh minit selepas itu, telinga saya menangkap nyanyian lagu Mandarin. Saya pandang ke arah bunyi lagu itu. Oh, telefon bimbit seorang gadis China berbunyi. Dia menekan punat telefon bimbit serentak berkata, "Wei.." (entah betul atau tidak ejaan bagi sebutan perkataan Mandarin ni…huhuhuhu). Hmm…saya yang Melayu ini cakap "Hello" tapi gadis China itu tetap menggunakan bahasa Ibundanya. Aduh! Berfikir…


Cerita jam 1.45 petang

Huh…masih belum mula ujian lagi. Lama betul kena tunggu! Dahlah dapat no 64. Entah pukul berapalah giliran saya tiba. Oh, kena tunggu di bangku sana ya. Ok! Hmm…Alhamdulillah ada kipas. Taklah panas sangat. =) Aik??? Ada sepasang belangkaslah di hujung tu! Nampaknya masih muda remaja. Lebih muda daripada saya rasanya. Hmm…sepasang belangkas berketurunan Melayu ni ambil lesen juga ke? Tapi yang pakai nombor tu rasanya si belangkas betina. Waduh…waduh…gawat nih! Belangkas jantan tu rela menunggu si belangkas betina hingga ke petang? Mengada-ngadanya… Bukanlah saya cemburu, cuma meluat dengan belangkas yang terlalu taksub dengan cinta dunia. Ah, biarlah! Lebih baik tumpang baca surat khabar STAR kepunyaan budak India di sebelah ni. Uh…tak berapa fahamlah. Kena banyak membaca bahan bacaan Inggeris saya ni. =’( Wah…dah hampir pukul 3 ni. Bilalah nak tiba giliran saya. Uik??? Subhanallah…sakitnya mata dan hati! Sangat meluat tengok gelagat belangkas tadi. Tak tahu malu ke? Kalau nak bermanja pun janganlah di depan orang ramai. Saya pandang budak India di sebelah ni. Dia tersenyum. Dia pun rupanya sedang melihat adegan romantik sepasang belangkas Melayu tu. Saya juga berketurunan Melayu! Aduh! Malunya saya dengan budak India di sebelah ni yang masih tersenyum-senyum melihat sepasang belangkas itu bercanda mesra. Ya Allah, mahu saja saya tegur sepasang belangkas ini supaya tidak mengawan di tepi jalan begini. Tapi malangnya, saya hanya bisa memerhati, tapi takut untuk bertindak. Saya akui kelemahan saya ini… =’( Tuhan…berilah kesabaran kepada diriku ini. Jauhkanlah diriku dari segala kemurkaan. Berfikir...


Cerita 6.00 petang

Alhamdulillah…saya lulus ujian menunggang motosikal! Saya buka ‘inbox’ telefon bimbit saya. Sekali lagi saya baca SMS daripada teman baik saya (Suhaila namanya) yang dihantar malam tadi. " Ya Allah, lulusknlah temn baikku ini misraini wazir @ nurul ayam dgn cmerlag dlm test bsma abg jpj. Ssungguhnya aku amt mnyayangi shbt baikku ini. Amiiiin." Uh…NURUL AYAM??? Hahahaha…gelaran yang tak patut, tapi tak pula saya terasa hati atau marah. Terima kasih untuk doamu wahai teman baikku!


p/s: Ini kisah semalam yang tertunda penerbitannya...

Tiada ulasan: