Khamis, 19 Mac 2009

Hentikan tangisan itu saudari...

Buat temanku Wan Nur Hanisah... Harap tidak mengapa aku selitkan perasaan engkau di sini ya, kawan! =) Buat pulihkan semangat engkau! Mesti engkau tersenyum... =)



Saudaraku, saudari,
lakrima kecewa yang mengalir deras
dan melimpah menjadi sungai lesu itu
milikmu?
Kerana bengkak hatimu
setelah terhantuk beban cinta
manusia yang ternoda;

Saudaraku, saudari,
hentikanlah manik-manik jernih itu
daripada terus mengalir,
menakung rasa sesal yang dalam
hingga kau sendiri lemas di dalamnya.
Jangan kau bazirkan pada ceritera hiba
kononnya.
Kesatlah dengan tangan yang meraup keredhaan-Nya
kerana yang ditakdirkan itu
terkandung hikmah di sebaliknya.

Saudaraku, saudari,
temanku yang seorang itu sering saja mengingatkanku,
"antara dua cinta yang ingin dimiliki, cinta insani dan cinta Ilahi. Pastinya yang utama itu cinta Ilahi, kerana cinta-Nya cinta hakiki".
Apa mungkin kau lupa janji-Nya
yang terkalam dalam aksara syurga, An-Nur,
wanita yang baik itu dijanjikan untuk lelaki yang baik,
begitu juga sebaliknya.

Lalu yakinlah saudaraku, saudari,
telah tercatat seungkap nama di luh mahfuz
sebagai teman perjalanan hidupmu
umpama terciptanya Hawa untuk Adam.
Cuma peribadinya ditentukan oleh
sejauh mana ketinggian peribadimu.

Saudaraku, saudari
Hentikan tangisanmu itu.
Samalah kita berdiri pada jalan keredhaan-Nya,
Moga yang terbaik itu
Takdir-Nya bersama kita.


p/s: Jika engkau mencintai bunga, sedarlah engkau bunga itu akan layu. Jika engkau mencintai harta, harta itu nanti akan kau tinggalkan. Jika engkau cintakan manusia, sedarlah satu hari dia akan pergi. Jika engkau cintakan Illahi, hanya Dia yang akan kekal abadi. Cintailah Illahi. Itu cinta Hakiki...

Tiada ulasan: